![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211218/masidi2.jpg)
KOTA KINABALU: Semua masyarakat dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sepanjang sambutan Hari Natal 2021.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, khususnya kepada mereka yang menyambut perayaan itu, semua Ahli Jawatankuasa Pengurusan (AJKP) dan penganut yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan memasuki rumah ibadat.
"Tempoh masa sembahyang tidak boleh melebihi dua jam dan ia diikuti dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang diteruskan untuk sesi berikutnya.
"Rumah ibadat juga terhad kepada 50 peratus kapasiti ruangan dengan mengambil kira penjarakan fizikal sejauh satu meter," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, AJKP dikehendaki mempamerkan notis tentang perlunya membawa peralatan sembahyang sendiri dan kanak-kanak dibawah umur 12 tahun hanya dibenarkan masuk tertakluk kepada ibu bapa yang telah lengkap vaksinasi.
Katanya, bagi mereka yang menerima pengunjung di rumah, tempoh kunjungan tidaklah boleh melebihi tiga jam dan perlu diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum menerima pengunjung seterusnya.
"Ruangan juga terhad kepada 50 peratus kapasiti rumah dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter," katanya.
Dalam pada itu katanya, Sabah pada 17 Disember 2021 merekodkan dua kematian baharu disebabkan COVID-19.
Katanya, kes itu berlaku masing-masing Tawau dan Kota Kinabalu. Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam.
utusanborneo.com.my/2021/12/18
|