MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak diharap akan membantu Sarawak mencapai objektif Perjanjian Malaysia (1963).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sudah melaksanakan rundingan sejak 2015 dan akan terus diadakan.
“Justeru, saya berharap inisiatif terus berunding mengenai MA63 seperti yang terkandung dalam MOU ditandatangani pada 13 September 2021 akan membawa kepada hasil menang-menang kedua-dua pihak,” katanya.
MoU tersebut ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertujuan mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara menerusi pendekatan kerjasama secara dwipartisan.
Mengulas lanjut Abang Johari berkata, dalam perjalanan selama 58 tahun sebagai sebuah negara, terdapat perkara yang tidak dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan MA63, ia harus dibawa ke meja rundingan sebagai sebuah Keluarga Malaysia besar.
“Kewujudan kita sebagai sebuah negara yang terdiri daripada tiga wilayah harus didasarkan kepada semangat saling menghormati sambil mengenali hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan berdasarkan semangat MA63 dan Suruhanjaya Cobbold.
“Justeru, seluruh rakyat Malaysia harus memahami signifikan tarikh 16 September dalam lipatan sejarah negara dan ia telah diisytiharkan sebagai cuti umum untuk memperingati penubuhan Malaysia.
“Saya berharap langkah ini akan mendorong seluruh rakyat untuk memahami dan menghayati signifikan tarikh keramat tersebut,” tegasnya.
|