KUCHING: Padah memiliki sebuah kereta Kancil curi, seorang pemuda bekerja sendiri dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Elvin Voon Yong Tak, 22, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lelaki yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 12 Februari lepas di sebuah tempat letak di MJC, Batu Kawa di sini, kira-kira jam 6.40 petang.
Berdasarkan keterangan kes, pemilik kereta tersebut menyedari kenderaan yang diletakkannya di tempat letak kereta telah hilang dicuri orang tidak dikenali.
Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan hasil siasatan membawa kepada penangkapan tertuduh pada 18 November lalu.
Tertuduh didapati menggunakan kereta curi tersebut dan proses goresan oleh Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendapati kenderaan tertuduh adalah kereta yang dilaporkan hilang.
Selain itu, hasil pemeriksaan turut mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan tertuduh adalah palsu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin di hadapan Majistret Zubaidah Sharkwi.
utusanborneo.com.my/2021/12/17
|