KUCHING: Seorang lelaki dan seorang peniaga wanita masing-masing dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan perkhidmatan sewa bas.
Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap setiap tertuduh dalam kes ini iaitu Ameen Haiqal Lim Abdullah @ Lim Seng Hock dan Marlina Bolki.
Sehubungan itu katanya, setiap tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri bagi pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi mereka.
Ameen didakwa atas dua pertuduhan manakala Marlina didakwa atas satu pertuduhan, kesemuanya dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, Akta yang sama.
Bagi pertuduhan pertama, Ameen didakwa membuat tuntutan palsu berjumlah RM6,400, membabitkan perkhidmatan dua buah bas sewa untuk acara Latihan Menembak Senjata Kecil sedangkan acara tersebut hanya diadakan sehari iaitu pada 7 Oktober 2017 dan menggunakan sebuah bas sahaja.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat tuntutan palsu berjumlah RM9,600, untuk perkhidmatan sewa tiga buah bas bagi acara dua hari, sedangkan acara berkenaan diadakan sehari dan tiada bas disewa semasa acara berkenaan.
Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya pada 9 Oktober 2017, jam lebih kurang 9 pagi di Kementerian Pertahanan Malaysia Cawangan Sarawak, di Jalan Simpang Tiga di sini.
Sementara itu, Marlina didakwa mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM6,526.50 pada hari dan waktu sama, juga untuk perkhidmatan bas dua hari bagi acara Latihan Menembak Senjata Kecil, sedangkan acara berkenaan diadakan sehari sahaja.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Nisla Abdul Latif itu menyaksikan seramai 20 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam kes ini.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Osman Ibrahim, Fadzillah Osman dan Nur Artikah Kulah.
utusanborneo.com.my/2021/12/17
|