|
MIRI: Seorang pemuda yang ditangkap kerana mengamuk, menendang dan mengugut hendak membunuh bapa kandungnya diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman empat hari untuk membantu siasatan lanjut polis.
Suspek, 20, dari Desa Senadin di sini diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Menurut keterangan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Rayhan Albert ketika mengemukakan permohonan reman menerusi aplikasi zoom memberitahu bahawa suspek telah ditangkap sekitar jam 9 malam, 16 Disember lalu di rumah keluarganya di Desa Senadin di sini.
Tangkapan ke atas suspek dilakukan berikutan maklumat diterima daripada orang awam yang menyatakan seorang lelaki telah mengamuk di sebuah rumah di Jalan Jati 3 Desa Senadin.
Sementara itu, seorang lelaki warga emas turut membuat laporan di Balai Polis Lutong sejurus selepas kejadian tersebut.
Dalam aduannya, pengadu, 55, mendakwa sekitar jam 7.30 malam hari sama, ketika berada di rumah, anak lelaki beliau telah mengamuk dan bertindak menendang serta menolaknya hingga terjatuh.
Tidak cukup dengan itu, suspek turut mengugut hendak membunuh pengadu kerana marah setelah dihalang oleh pengadu keluar rumah dalam keadaan mabuk.
Beberapa orang jiran yang terdengar bunyi bising datang membantu untuk menenangkan keadaan dan seterusnya menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
Dalam permohonan lanjutnya, Rayhan berkata reman selama empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis merakam percakapannya dan melakukan ujian saringan air kencing.
Majistret Leona Dominic Mojiliu meluluskan permohonan itu dan memerintahkan suspek direman empat hari sehingga 21 Disember ini.
utusanborneo.com.my/2021/12/17
|
|