Abang Johari (kanan) ketika simbolik perasmian Program Jelajah Belia @mukah dengan menyisih batang rumbia.
MUKAH: Cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat adalah demi masa depan belia di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, dana berkenaan merupakan simpanan yang tidak akan dikeluarkan sehingga hasil minyak dan gas negeri kehabisan.
"Kita akan simpan dana hasil daripada pelaburan kepada sektor-sektor profesional dan akan pulangkan semula kepada golongan belia," katanya ketika berucap pada Peogram Jelajah Belia Sarawak @Mukah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Mukah.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib dan tetamu kehormat lain.
Menurut Abang Johari, ia merupakan salah satu pelan yang dirangka khas untuk belia negeri pada hari ini.
Pada masa sama katanya, belia ketika ini dilatih untuk terus mewarisi kesinambungan kepimpinan negeri yang mana boleh dilihat ketika ini ada gandingan pemimpin veteran dan juga muda.
Belia khususnya di negeri ini juga katanya harus peka terhadap tiga perkara yang utama dan tidak dinafikan kepentingannya.
Jelasnya, antaranya menguasai teknologi dengan era pendigitalan termasuk ekonomi, bidang sukan dan juga bidang kesenian serta kebudayaan.
Beliau menegaskan ketiga-tiga perkara tersebut amat memerlukan tenaga dan juga penyertaan secara langsung golongan belia demi ke arah menjadikan negeri ini sebuah negeri maju menjelang 2030.
Mukah merupakan deatinasi ke-20 bagi Program Jelajah Belia Sarawak 2021.
Seramai 200 belia sekitar Mukah telah dijemput untuk menghadiri program berkenaan.
utusanborneo.com.my/2021/12/17
|