Edited by Vellfire at 15-12-2021 05:28 AM
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan oleh Dewan Rakyat mencerminkan kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan hak negeri ini.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman berkata kesungguhan itu berlandaskan MA63, laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya menzahirkan ribuan terima kasih kepada kesemua Ahli Parlimen yang menyokong RUU ini, menggambarkan kesedaran mereka akan peri pentingnya memulihkan status Sarawak dan Sabah dalam persekutuan Malaysia.
“Sudah tentu, ini berita baik kepada semua rakyat Sarawak dan Sabah yang telah menunggu sekian lama untuk kedudukan dua wilayah di Borneo ini di kukuhkan sebagai rakan setaraf (equal partners) dalam penubuhan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata dengan pindaan perlembagaan yang diluluskan ini, diharap agar lebih banyak hak Sarawak yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja boleh dikembalikan selaras dengan pindaan kepada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan.
Katanya ia satu langkah yang signifikan kerana selepas ini, kerajaan negeri boleh menuntut semula hak yang telah termaktub dalam MA63 dan juga yang dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Kerajaan Sarawak bawah tadbir selia GPS telah merangka pelbagai inisiatif dalam mengembalikan hak Sarawak antaranya memperkenalkan cukai jualan negeri (SST) dan juga mendapatkan kuasa dalam pengedaran gas berlandaskan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016).
“Ia juga telah mengembalikan kuasa perlombongan kepada Petroleum Sarawak Bhd (PETROS), untuk menjalankan perlombongan minyak dan gas di kawasan darat negeri,” ujar beliau.
Fazzrudin berkata semua itu telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dan kerajaan GPS juga ada banyak lagi perancangan untuk menuntut hak yang terhakis dari kerajaan pusat.
“Ini mencerminkan kesungguhan kerajaan GPS dalam mempertahankan hak Sarawak berlandaskan MA63, Laporan IGC dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. Beliau berharap agar usaha murni ini akan terus mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada rakyat Sarawak, sekali gus membantu membangunkan negeri ini untuk kepentingan semua.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkait Perjanjian Malaysia 1963 selepas lebih dua pertiga ahli menyokong pindaan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung RUU tersebut berkata status sama rata bagi negeri Sabah dan Sarawak tidak pernah diperuntukkan dalam mana-mana undang-undang negara.
utusanborneo.com.my/2021/12/15 |