USIR: Anggota PPM usir keluar bot PTI terbabit sehingga ke sempadan negara.
SANDAKAN: Seorang pendatang tanpa izin (PTI) yang cuba menceroboh masuk perairan negara diusir keluar berhampiran Pulau Berhala, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Pasukan Polis Marin (PPM) yang menjalankan rondaan di lokasi berkenaan mengesan pergerakan sebuah bot dipercayai dari negara jiran.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Sandakan, DSP Rusdin Banin berkata anggotanya bertindak memintas bot berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, PTI terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mengaku berasal daripada Pulau Bakungan negara jiran.
“Pasukan keselamatan memberikan nasihat agar PTI terbabit tidak cuba memasuki perairan negara secara haram lagi,” katanya dalam kenyataan mediannya di sini semalam. Katanya, bot berkenaan kemudiannya diiring keluar sehingga ke sempadan negara bagi memastikan PTI terbabit balik ke negara asal.
Rusdin berkata PPM Sandakan komited menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan mengawal perairan negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi sempadan negara secara haram.
“Masyarakat di persisir pantai dan maritim diminta untuk menyalurkan maklumat sekiranya mendapati aktiviti jenayah di kawasan mereka.
“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp di nombor 013-2831197 atau berhubung ke Pusat Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/14
|