Anggota bomba sedang menjalankan operasi pemadaman di lokasi kebakaran
SIBU: Dua blok kuarters pekerja golf yang didiami seramai 61 penghuni musnah dalam kebakaran di Batu 10, Jalan Kemuyang dekat sini lewat petang semalam.
Kebakaran yang melibatkan dua blok rumah teres 15 pintu itu disedari apabila kebanyakan penghuni berada di rumah pada jam 7 petang.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu, Janggan Muling berkata, pihaknya di Balai Bomba dan Penyelamat Sibujaya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 petang telah menggerakkan 15 anggota ke lokasi, kira-kira 12 kilometer dari balai.
Katanya, setiba di lokasi kejadian pada 7.27 malam, didapati kebakaran sedang marak memusnahkan dua blok rumah teres satu tingkat kekal yang terletak bertentangan.
"Operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan satu aliran hos 300 kaki dan dua nozel air dari pam jentera bomba serta satu aliran hose reel.
"Operasi terkawal pada 8.04 malam namun kebakaran telahpun memusnahkan dua blok rumah teres pekerja tersebut 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 11.50 malam setelah anggota Bomba memastikan sisa-sisa kebakaran terpadam sepenuhnya.
Seramai 15 anggota dari BPP Sibujaya dan 13 anggota dari balai bantuan BPP Sungai Merah terlibat dalam operasi tersebut serta tiga pegawai kanan hadir di lokasi. Difahamkan kebakaran dipercayai berlaku akibat litar pintas namun punca kebakaran masih dalam siasatan Forensik Bomba.
Kesemua mangsa telah mencari tempat perlindungan sementara bersama saudara mara masing-masing.
utusanborneo.com.my/2021/12/13
|