MOTIVASI: Jonathan bersama sebahagian Wanita PDM Karanaan yang hadir.
RANAU: Kaum wanita disaran supaya bijak merancang dan membuat pelan tidakan masa hadapan yang boleh mencipta pendapatan demi kebaikan keluarga ataupun komuniti.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata penglibatan wanita dalam persatuan atau organisasi mendatangkan banyak faedah sekiranya dibuat secara bersungguh-sungguh.
“Menerusi bantuan dan sokongan daripada kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan agensi yang lain juga boleh membantu wanita untuk terus menghasilkan pendapatan.
“Setiap perkara yang kita usahakan memerlukan kesungguhan, kebijaksanaan dan komitmen yang tinggi daripada diri sendiri untuk terus maju ke hadapan,” katanya.
Katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Pusat Daerah Menggundi (PDM) Wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata pihaknya bersedia membantu kaum wanita untuk maju ke hadapan dan memperolehi pendapatan keluarga.
“Kaum wanita perlu mempunyai usaha untuk maju pada masa akan datang dan sebagai asas serta landasan mereka boleh bermula secara kecil-kecilan,” katanya.
Sementara itu, Jonathan menyeru wanita yang bertugas di PDM supaya dapat menjalankan tugas sebaik mungkin terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
“Tugas anda semua sangat penting dan diperlukan bagi menentukan kejayaan berpihak kepada kita,” katanya.
Terdahulu, Jonathan turut hadir dalam program santai bersama pengundi luar PDM Tungou anjuran JPKK Kampung (Kg) Tiang Lama dan majlis santai bersama penduduk Kg.Mumpait Ranau.
utusanborneo.com.my/2021/12/12
|