Abang Johari melakukan simbolik pelancaran Gedong sebagai Daerah di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong. - Gambar oleh Roystein Emmor
GEDONG: Kawasan Gedong yang dahulunya sebuah perkampungan kecil kini berstatus daerah penuh dengan pelancaran oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Berucap pada majlis pelancaran Gedong sebagai daerah di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini hari ini, Abang Johari berkata dengan penarafan ini, Gedong sudah tentu akan mempunyai pentadbiran sendiri untuk perkhidmatan lebih positif dan berkesan.
“Hasil kajian kebolehlaksanaan kerajaan negeri, lima pusat pentadbiran baharu diwujudkan iaitu lima daerah dan satu daerah kecil meliputi bahagian Samarahan, Serian dan Sri Aman.
“Selain Gedong, empat lagi kawasan iaitu Siburan, Sebuyau, Lingga, dan Pantu dinaiktaraf sebagai daerah penuh dan Balai Ringin sebagai daerah kecil,” katanya.
Tambah Abang Johari, permohonan untuk menaik taraf Gedong sebagai daerah diterima daripada mantan wakil rakyat Gedong Datuk Naroden Majais.
“Memang benar, saya telah terima permohonan daripada Naroden untuk Gedong jadi daerah kecil.
“Tetapi selepas kajian dilaksanakan, maka saya buat keputusan untuk Gedong dinaikkan kepada daerah penuh,” katanya.
Susulan penarafan Gedong sebagai daerah penuh, kerajaan negeri menurut Abang Johari akan membangunkan Gedong melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).
“Kita akan bangunkan atur pembangunan melalui IRSDA di Gedong dan jadikan Gedong sebagai Pekan Satelit yang dapat mengubah corak hidup rakyat di kawasan ini.
“Kita juga akan bangunkan kemudahan seperti hotel selain homestay sedia ada dan perkhidmatan lain yang diperlukan.
“Ini perancangan kita dan saya sebagai ketua menteri akan pastikan apa yang dirancang ini akan menjadi realiti,” katanya.
Pada majlis itu Abang Johari yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Gedong berterima kasih kepada penyandang Datuk Naroden Majais yang telah banyak berjasa kepada Gedong dan Simunjan.
Selain melancarkan Gedong sebagai daerah, Abang Johari turut menyerahkan cek pampasan tanah bagi Projek Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong dan Projek Naik Taraf Jalan Lubok Samsu/Kampung Steman.
Jumlah penerima pampasan seramai 37 orang dengan jumlah keseluruhan bernilai RM5.35 juta.
Turut diserahkan lesen pendudukan sementara (TOL) bagi Skim Pembesaran Kampung Masjid Gedong Fasa II kepada 14 penerima melibatkan 14 lot.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong.
utusanborneo.com.my/2021/12/12
|