Keadaan semasa kemalangan di Batu 19, Jalan Kuching Serian, awal pagi tadi.
SERIAN: Seorang pekerja mekanik maut akibat kecederaan parah di kepala dipercayai digilis kenderaan tidak dikenal pasti selepas terlibat kemalangan di Batu 19, Jalan Kuching-Serian, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, Joshua Jinar, 17 berasal dari Kampung Tepoi, Tebedu maut di tempat kejadian.
Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa dari Taman Duranda Emas hendak menuju ke Batu 13, Jalan Kuching-Serian.
"Apabila sampai di Batu 19, Jalan Kuching-Serian, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.
"Mangsa bagaimanapun selepas itu dipercayai digilis oleh kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis serta nombor pendaftaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata, akibat dari pelanggaran itu mangsa mengalami cedera parah di kepala.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas," kata Alexson.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/12/12
|