KUCHING: Pengembara warganegara dan pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara, perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) iaitu dua hari sebelum berlepas dari negara itu, dibenarkan masuk ke Sarawak berkuatkuasa esok hari (12 Disember).
Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia merupakan perubahan mengenai langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada ke atas pengembara-pengembara yang tiba di Malaysia selaras dengan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Disember lalu.
"Pengembara (warganegara dan pemegang pas lawatan jangka panjang) yang tiba dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara iaitu Afrika
Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi atau mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara
tersebut dibenarkan memasuki Sarawak.
"Tetapi dengan mematuhi syarat-syarat seperti melakukan ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) dua hari sebelum berlepas dari lapan negara tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, JPBNS berkata, pengembara juga perlu memohon dalam sistem EnterSarawak; mengisi pengisytiharan kesihatan (eHDF); ujian RT – PCR semasa ketibaan di ‘First Point of Entry’ dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan di ‘First Point of Entry’ ke Malaysia, tanpa mengira status vaksinasi.
Pada masa sama pengembara juga tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah; tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi lain di Sarawak sehingga lengkap tempoh kuarantin; keputusan Swab Ujian RT-PCR pada hari ke-12 adalah negatif sebelum diberi
kebenaran penamatan dari kuarantin dan penilaian risiko pada hari ke–14 dan lanjutan kuarantin sekiranya perlu.
Bagi pengembara yang datang dari negara–negara lain atau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 14 hari sebelum memasuki Sarawak perlu menjalani ujian RT-PCR COVID-19 dalam tempoh dua hari sebelum berlepas dari luar negara tersebut.
Selain itu, JPBNS berkata, pengembara juga perlu memohon dalam sistem EnterSarawak; mengisi eHDF; ujian RT-PCR COVID-19 semasa ketibaan; kuarantin wajib tujuh hari untuk mereka yang lengkap vaksinasi atau 10 hari
bagi yang tidak lengkap vaksinasi atau belum vaksinasi; menjalani kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan; ujian RT-PCR pada hari ke-5 (untuk kuarantin 7 hari) dan hari ke-8 (untuk kuarantin 10 hari); dan penilaian risiko pada hari terakhir kuarantin (pada hari ke-7 atau hari ke-10).
"Tempoh kuarantin dilanjutkan sekiranya bergejala.
Pengembara dari luar negara wajib mengisytiharkan sejarah perjalanan kepada petugas saringan kesihatan di pintu masuk negeri Sarawak.
"Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil sekiranya memberi maklumat palsu, gagal memberi maklumat mengenai status kesihatan atau gagal mengisytiharkan sejarah perjalanan terdahulu.
"Peraturan ini boleh berubah dari masa ke semasa mengikut keadaan semasa COVID-19 di dalam dan luar negara. Keputusan ini berkuatkuasa mulai 12 Disember 2021," ujarnya.
utusanborneo.com.my/2021/12/11
|