Edited by sharlenetexas at 5-12-2021 01:35 AM
04/12/2021 05:28 PM
MELAKA, 4 Dis -- Pasukan badan beruniform Kadet Polis Diraja Malaysia dan Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), dilihat sebagai platform yang berpotensi untuk melahirkan pelapis pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kedua-dua pasukan tersebut juga mampu berperanan sebagai pencari bakat atau'talent scout', dalam pengambilan pegawai dan anggota polis.
"Untuk cadangan pencari bakat kita akan lakukan kajian bagi memperhalusi perkara itu, dan sebenarnya telah ada program seumpama itu di peringkat universiti awam iaitu bagi calon-calon berpotensi kita akan ambil sebagai pegawai kanan.
"Sementara itu, bagi peringkat kadet polis bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 5, setelah mereka menamatkan pengajian sekolah menengah, calon-calon layak memohon jawatan konstabel polis dan mereka ini adalah kelompok berpotensi untuk kita ambil sebagai anggota,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyarankan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan pencari bakat, bagi memastikan pengambilan pegawai dan anggota pasukan itu pada masa depan adalah mereka yang benar-benar layak, berminat dan terbaik.
Terdahulu, Acryl Sani mendahului senarai 58 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, sempena Sambutan Hari Jadi ke-72 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Beliau dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat penganugerahan di Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/v2/bm/am/news.php?id=2030136
|