RAMPASAN: Barang kawalan yang dirampas itu diserahkan kepada KPDNHEP Semporna untuk siasatan lanjut.
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas barang kawalan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran di jeti Kampung Air, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, anggota PPM yang menjalankan rondaan di sekitar perairan Semporna mengesan sebuah bot yang sarat dengan muatan terikat di tiang jeti berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata pasukannya bertindak menjalankan pemeriksaan ke atas bot berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di dalam bot berkenaan telah menemukan beberapa jerikin berisi minyak petrol dan beberapa kotak minyak masak.
“Kita percaya semua barang kawalan tersebut cuba diseludup keluar ke negara jiran berdasarkan kuantiti yang ditemui,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Katanya, pasukan rondaan bertindak merampas bot dan barang kawalan tersebut sebelum dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna.
“Kesemua ramasan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna untuk siasatan lanjut. “Nilai rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM12,627.50 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Mohamad berkata PPM wilayah 4 Sabah mengalu-alukan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka.
“Maklumat boleh dilaporkan secara terus menggunakan aplikasi whatsapp kepada Pusat Komunikasi PPM Sabah ditalian 0139391197 atau berhubung terus dengan balai berdekatan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/23
|