KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kluster COVID-19 baharu yang melibatkan tempat kerja semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Kluster Sawit Mania Kinabatangan menambah 17 kes baharu pada hari ini.
"Hari ini jumlah kes baharu COVID-19 negeri ini menurun sebanyak 108 kes kepada 437 kes.
"Lebih banyak daerah mencatatkan penurunan kes harian daripada daerah-daerah yang merekodkan pertambahan kes.
"Antaranya ialah Penampang (-10), Papar (-11), Kota Belud (-19), Tenom (-12) dan Tuaran (-25)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, Kota Kinabalu kekal penyumbang terbanyak kes baharu dengan 98 kes. Adalah diperhatikan bahawa daerah-daerah yang sering mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi juga mencatat jangkitan secara sporadik (kategori bergejala) dalam jumlah yang banyak.
Sebagai contoh katanya, 45 kes daripada 98 kes di Kota Kinabalu semalam adalah kes-kes melalui saringan bergejala, 19 kes daripada 39 kes di Penampang, 23 kes daripada 38 kes di Kota Belud dan 13 kes daripada 26 di Ranau.
"Secara keseluruhan 201 kes daripada 437 kes semalam merupakan kes saringan bergejala yang berpunca daripada jangkitan secara sporadik.
"Amatlah penting bagi semua penduduk mematuhi SOP secara serius dan berdisiplin bagi mengelak daripada jangkitan khususnya apabila berada di tempat awam atau dalam perjumpaan secara berkumpulan.
"Sebagai langkah mempertingkatkan imuniti badan kita, amatlah digalakkan agar semua yang layak mendapatkan dos penggalak mengikut jadual," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/21
|