TERIMA KASIH: Isnin (tengah) menerima cendera kenangan ketika mengadakan lawatan itu.
RANAU: Daerah ini bakal mempunyai satu bangunan Mahkamah Anak Negeri baharu apabila kerajaan Pusat akan mula membina kemudahan itu awal tahun hadapan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih berkata, kos pembinaan bangunan itu adalah sebanyak RM5 juta.
"Bangunan Mahkamah Anak Negeri baharu ini dibina bagi menempatkan pentadbiran Ketua Daerah, Pejabat Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), termasuk seorang Pegawai dan kakitangan pejabat dengan dilengkapi peralatan komputer untuk kemudahan para WKAN dan juga Ketua Kampung (KK) bagi berurusan berkaitan tugas serta tanggungjawab masing-masing.
"Kita akan membina bangunan sendiri Mahkamah Anak Negeri di daerah ini yang kini masih menumpang di bangunan Pejabat Daerah," katanya selepas mengadakan satu lawatan ke sini, semalam.
Beliau berkata, bangunan baharu seumpamanya sudah pun siap dibina di daerah lain cuma di daerah Ranau agak terlewat sedikit ekoran kekangan pandemik COVID-19.
"Saya mengharapkan dengan adanya bangunan baru itu, ianya akan memberi manfaat kepada Ketua Daerah, para WKAN, Ketua Kampung (Pemegang Adat) dan penduduk setempat yang ada keperluan berurusan apa juga isu.
"Kini kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan yang mempunyai tiga WKAN sahaja akan ditambah seorang lagi WKAN supaya genap empat orang seperti kawasan DUN ditempat lain di Sabah," katanya.
Beliau berharap dengan pertambahan WKAN di DUN Paginatan akan lebih memantapkan lagi peranan dan fungsi mereka untuk keperluan penduduk kawasan setempat.
utusanborneo.com.my/2021/10/30
|