Fatimah (tengah) bersama Prahbu (kiri) dan Rosey (kanan) melihat makanan tradisi komuniti India, 'murukku' bersempena Hari Deepavali yang disambut 4 November ini pada majlis itu.
KUCHING: Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan cuti umum bagi perayaan Deepavali di Sarawak, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Keluarga, Dato Sri Fatimah Abdullah hari ini.
Walaupun begitu, komuniti India di Sarawak sebelum ini telah lama dibenarkan untuk mengambil cuti bagi menyambut perayaan Deepavali itu bersama ahli keluarga masing-masing.
"Saya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian melainkan pihak berkuasa tertinggi yang berhak memutuskan keputusan selepas pertimbangan menyeluruh dilakukan.
"Permintaan komuniti India ini boleh dimajukan kepada Yang Berhormat (YB) untuk dibuat pertimbangan secara holistik," katanya ketika berucap di Majlis Program Perpaduan Keluarga Malaysia Sempena Perayaan Diwali Tahun 2021 Bahagian Kuching di di Dewan International Society fo Krishna Consciousness Kuching (Iskcon) di sini semalam.
Sementara itu, beliau pada masa yang sama menegaskan kepentingan kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini sebagai asas yang akan membantu kepada pembangunan Sarawak.
"Pastikan apa yang kita ada pada hari ini, keharmonian, semangat perpaduan dan hormat-menghormati satu sama lain dipupuk dan dipelihara.
"Sarawak bakal menjadi lebih maju, jika terdapat perpaduan dalam kalangan mereka yang pelbagai bangsa dan agama," ujarnya.
Fatimah turut memberitahu perwakilan akan dilantik di dalam Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sarawak bagi merangka lebih banyak agenda perpaduan berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Dengan itu beliau yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut menambah, perpaduan perlu dipastikan dipupuk dan dipelihara terutama dalam zaman moden ini.
"Kadang kala apa yang di muat naik ke laman sosial menimbulkan perpecahan kaum di Sarawak, komuniti India yang minoriti tidak pernah dipinggirkan," katanya lagi.
Beliau menjelaskan, perpaduan itu perlu dipupuk dari kecil di rumah dan pusat pendidikan awal untuk memhami kelainan yang terdapat dalam komuniti dan menanam perasaan hormat diantara satu sama lain.
Menjadi harapannya untuk melihat kanak-kanak di peringkat pendidikan menyertai program-program yang berbentuk perpaduan mengikut kreativiti guru atau oeprator pusat masing-masing.
Sejambak Kasih Deepavali juga akan diadakan pada bulan hadapan bagi semua penerima kurang berkemampuan komuniti India daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Turut hadir sama adalah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus serta Pengerusi Iskcon Kuching, S Krishnarao (Prabhu).
utusanborneo.com.my/2021/10/30
|