KEMPEN: Risalah kempen derma darah.
KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya penduduk sekitar Inanam dijemput hadir menderma Darah ahad ini (31 Oktober), di Ruang Tugu Peringatan Pekan Inanam bermula Jam 9 pagi sehingga 2 petang.
Presiden Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (PENDARAH) Alix Sunggin berkata, Kempen kali ini adalah anjuran Bersama ADUN Inanam, PKR Parlimen Sepanggar, Persatuan Talasemia Sabah, Pendarah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Hospital Queen Elizabeth II.
“Kita masih memerlukan lebih ramai penderma darah secara sukarela tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama dalam memastikan bekalan darah di semua hospital di negeri ini sentiasa cukup untuk masyarakat setempat.
“Sehingga kini, tidak ada lagi bahan sintetik yang mampu dihasilkan bagi menggantikan produk darah yang sentiasa diperlukan dalam perawatan pesakit.
“Oleh itu, saya menyeru agar lebih ramai anggota masyarakat tampil menderma dengan lebih kerap lagi dan bagi yang belum pernah menderma terutama golongan muda marilah menderma, tanamkan budaya menderma darah kerana ia bukan sahaja membantu pesakit lain malah memberi kelebihan kepada diri sendiri," katanya.
Katanya, pihak penganjur juga telah menyediakan 100 kampit beras seberat 5kg untuk saguhati kepada penderma darah terawal.
Sebarang pertanyaan mengenai program derma darah boleh menghubungi terus Pengerusi Penganjur yang juga Presiden Persatuan Talasemia Sabah, Francis Mujim (01114118557).
utusanborneo.com.my/2021/10/30
|