Ting: Sarawak perlu dana besar untuk pembangunan
MIRI: Sarawak memerlukan dana besar untuk pembangunan melihat kepada saiz negeri yang luas.
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting (gambar) berharap peruntukan yang diberikan kerajaan pusat untuk pembangunan negeri ini akan ditingkatkan.
"Untuk Sarawak, kita gembira dengan jumlah yang diperuntukan untuk tujuan pembangunan iaitu RM4.6 bilion, tetapi, keluasan Sarawak adalah besar, hampir seluas Semenanjung Malaysia," jelasnya.
Ting yang juga ADUN Piasau dan Setiausaha Kehormat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, dana diperlukan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat.
"Dari segi infrastruktur, kita masih jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung Malaysia. Oleh itu lebih banyak peruntukan seharusnya diberikan kepada Sarawak dan juga Sabah," jelasnya.
Secara keseluruhan katanya, Bajet 2022 yang dibentangkan kelmarin adalah untuk memulihkan semula ekonomi negara selain memfokus terhadap penjagaan kesihatan rakyat.
Bajet yang diperuntukkan untuk industri pelancongan diharap dapat menghidupkan semula sektor pelancongan tempatan yang terjejas oleh pandemik COVID-19 dalam tempoh dua tahun.
utusanborneo.com.my/2021/10/30
|