KUCHING: Pusat hiburan keluarga atau karaoke berbilik yang bertempat di Pusat Membeli Belah dibenarkan beroperasi mengikut garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan mulai 1 November ini.
Keputusan membenarkan pengoperasian semula pusat hiburan ini dibuat menerusi persetujuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini
“Keputusan ini berkuatkuasa mulai 1 November 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPBNS turut memaklumkan hari ini terdapat 646 kes kes baharu COVID-19 dilaporkan di Sarawak menjadikan keseluruhan jumlah kes positif kini sebanyak 240,430. Daripada jumlah itu katanya, 634 kes adalah kategori 1 (tiada gejala) dan 2 (gejala ringan).
Manakala 12 kes adalah kategori 3 hingga 5 melibatkan jangkitan paru-paru, memerlukan oksigen dan ventilator.
“Kuching merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 166 kes diikuti Miri (115).
“Manakala daerah lain merekodkan kes harian dibawah 100 kes kecuali lima daerah iaitu Daro, Lundu, Telang Usan, Lubok Antu dan Tatau tiada merekodkan kes baharu,” ujarnya.
Sementara itu, JPBNS memaklumkan Sarawak mencatatkan 10 kes kematian akibat COVID-19 antara 25 hingga 29 Oktober 2021 Kesemua kes katanya, melibatkan lapan lelaki dan perempuan berusia 43 hingga 83 tahun.
“Kematian direkodkan di Hospital Sibu, Hospital Umum Sarawak, Hospital Kapit dan Hospital Miri,” katanya.
Dalam pada itu tiada kluster baharu dilaporkan manakala dua kluster iaitu Kluster KM19 Jalan Kuching-Serian, Kuching dan Kluster Batu 8 Jalan Kubong, Limbang ditamatkan menjadikan jumlah kluster masih aktif 29 kluster.
Sementara tiga lokaliti iaitu di Pakan, Sarikei dan Kabong dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa antara 30 Oktober hingga 10 November 2021.
utusanborneo.com.my/2021/10/30
|