Pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi.
BINTULU: Seramai lima lelaki ditangkap kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Abang Galau, di sini pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kelima-lima suspek disahkan positif selepas menjalankan Ujian Evidential Breath Analyzer (EBA).
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi yang diketuai Timbalan Ketua JSPT Sarawak DSP Mathew Manggie.
"Kesemua suspek kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Bintulu untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sekiranya didapati bersalah boleh dihukum denda RM10,000 dan penjara," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, pasukan operasi turut mengeluarkan 27 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi tersebut yang bermula dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
"Operasi seperti akan diteruskan dalam usaha kita memastikan tiada pemandu memandu dibawah pengaruh alkohol," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/30
|