Abang Johari harap Sarawak dapat peruntukan terbaik untuk teruskan agenda pembangunan
Abang Johari, berharap Sarawak menerima peruntukan terbaik pada Bajet 2022 untuk teruskan kesinambungan pembangunan negeri. - Gambar Penerangan.
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap Sarawak akan menerima peruntukan yang terbaik pada Bajet 2022 terutamanya dari segi pembangunan.
Katanya, peruntukkan sedemikian amat penting kepada Sarawak dalam meneruskan agenda pembangunannya.
"Mudah-mudahan kita menerima peruntukkan yang baik supaya dapat meneruskan usaha pembangunan Sarawak.
"Seperti yang saya katakan pada Keluarga Malaysia (pelancaran), pendekatan kita mungkin berbeza dengan tempat lain.
"Saya berharap (peruntukkan) berasaskan kekuatan pada Sarawak disamping kita membangunkan infrastruktur sekolah dan jalan raya luar bandar seperti yang dinyatakan Perdana Menteri," katanya Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Negeri bagi Kampung Semariang di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sebelum pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.
Bajet 2022 yang dibentangkan sekitar jam 4 petang, akan menyediakan sejumlah RM332.1 bilion, peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini dengan tumpuan ke arah memulihkan setiap segmen sosioekonomi negara.
Tengku Zafrul berkata daripada jumlah itu, kerajaan bercadang menyediakan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.
Ketika membentangkan bajet berkenaan dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” di Dewan Rakyat, hari ini, katanya, sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.
Sementara itu ditanya mengenai perancangan mengenai perjumpaan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Abang Johari berkata, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang akan mengadakan pertemuan berkenaan.
"Saya hanya mengadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizuddin Shah memandangkan Yang di-Pertuan Agong masih bercuti ketika itu.
"Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) masih lagi mahu melihat maklumat yang ada dan Yang di-Pertua Negeri (Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) yang akan mengadap Yang di-Pertuan Agong," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/29
|