BINTULU: Seorang penjawat awam perempuan berumur 38 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam sehingga mengalami kerugian RM34,900 dalam kejadian yang berlaku pada 25 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, susulan itu perempuan terbabit telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Katanya, dalam kejadian jam 12 tengah hari pada 25 Oktober itu mangsa telah menerima panggilan dari orang yang tidak dikenali menyamar sebagai pegawai Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Penyamar itu memberitahu mangsa dikatakan mempunyai sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa dan terdapat cukai tertunggak berjumlah RM617,000 yang perlu dijelaskan bagi mengelak mangsa disenarai hitam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu katanya, bagi menyelesaikan masalah itu panggilan mangsa disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis dan seseorang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.
Katanya, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa semakan mendapati nama mangsa dikatakan terlibat dengan aktiviti jenayah penggubahan wang haram dan telah bekerjasama dengan penjenayah yang amat dikehendaki oleh polis.
"Mangsa terpedaya dengan kata-kata suspek dan telah menurut arahan yang meminta mangsa berkongsi maklumat akaun perbankan atas talian dan mangsa juga telah menyerahkan nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC) yang diminta oleh suspek," katanya.
Zulkipli berkata, setelah menyerahkan nombor TAC, mangsa berasa curiga dan telah membuat semakan dalam akaun banknya dan mendapati wang dalam akaunnya telah
berkurangan sebanyak RM34,900.
Justeru katanya, mangsa menghubungi pusat khidmat pelanggan bank berkenaan dan dimaklumkan bahawa wang tersebut telah dipindahkan ke akaun pihak lain. Kemudian katanya, pihak bank menasihatkan mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, polis Bintulu sentiasa mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan dari mana-mana nombor yang tidak dikenali dan memperkenalkan diri pegawai kerajaan atau kakitangan bank.
Tegasnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mendedahkan atau menyerahkan nombor OTP/TAC yang diterima kepada mana-mana individu lain ini kerana nombor OTP/TAC sekiranya terlepas kepada orang yang tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan mangsa kehilangan wang dari akauan bank tanpa disedari.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar membuat semakan ke pihak berkenaan sebelum membuat sebarang pindahan wang ke mana-mana akaun bank yang diarahkan dan kami di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sedia membantu anda sekiranya terdapat sebarang kemusykilan," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/28
|