BINTULU: Seorang pesara wanita mengalami kerugian RM240,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud dalam kejadian sejak 30 September lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Zulkipli Suhaili, kejadian berlaku apabila mangsa berumur 53 tahun melihat iklan tawaran kerja sambilan dalam talian dan seterusnya menghubungi pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Katanya, nama mangsa seterusnya telah dimasukkan ke platform `online partime group WhatApps' yang mana semua pekerja sambilan akan dikumpul dalam satu
platform berikutnya.
"Mangsa telah dihubungi oleh pihak perkhidmatan pelanggan melalui mesej WhatsApp mengenai terma terperinci syarikat dan telah bertanya mangsa sekiranya
ingin mencuba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApps: "Mereka adalah syarikat Digital Marketing Team yang membantu peniaga e-dagang kecil untuk meningkatkan penjualan dan penaik tarafan mereka serta membantu pengusaha kecil yang tidak terkira banyak untuk membuka pasaran baru.
"Pekerjaan sambilan kami boleh menjana pendapatan sehingga RM300 hingga RM500 sehari dan masa bekerja kami fleksibel. Separuh masa mendapat komisen dengan membeli barang dengan peniaga terlebih dahulu. Selepas setiap tugas selesai, peniaga akan membayar balik pendahuluan serta komisen dalam masa lima minit.
"Setiap tugasan, komisen adalah 10 peratus. Setiap langkah tugas mudah dan sama. Kami akan membimbing anda selangkah demi selangkah. Adakah anda berminat untuk menyertainya?".
Zulkipli berkata, mangsa tertarik dengan iklan tersebut sehingga mendorong mangsa untuk menghubungi pihak perkhidmatan pelanggan terbabit.
Kemudian katanya, mangsa telah diminta melakukan beberapa tugasan yang diberi dengan membuat pembayaran untuk menyempurnakannya dan mangsa telah membuat
pembayaran sebanyak 41 kali transaksi ke dalam lapan akaun berbeza sehingga mangsa mengalami kerugian sebanyak RM240,000.
Pada 23 Oktober 2021 katanya, mangsa telah membuat satu laporan polis berkenaan kes penipuan terbabit.
Sehubungan itu, tegasnya, polis Bintulu sentiasa mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang menawarkan komisen lumayan mahupun dengan pelbagai tawaran yang diberikan.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar membuat semakan ke pihak berkenaan sebelum membuat sebarang pinjaman dari laman sosial Facebook," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/28
|