Ripin (tengah) Aziz (dua kiri) bergambar dengan penceramah dan peserta program taklimat isu semasa Jabatan Penerangan Sarawak.
MIRI: Penyaluran maklumat betul tentang program vaksinasi termasuk kepentingan suntikan dos penggalak amat penting untuk mengelak salah anggap masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, tanggapan salah terhadap vaksin COVID-19 boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan rakyat.
"Isu ini (dos ketiga vaksin) begitu hangat diperkatakan pada masa kini. Jadi pelbagai tanggapan, pandangan diketengahkan. Ini menyebabkan sesetengah masyarakat mendapat maklumat salah," jelas beliau merasmikan program taklimat isu semasa Jabatan Penerangan Sarawak, hari ini.
Sehubungan itu, Ripin turut meminta kerjasama rakyat untuk tidak berkongsi berita palsu dengan menyokong kempen Tidak Pasti Jangan Kongsi oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mereka boleh menyemak semula kesahihan berita dan maklumat dengan melayari laman Sebenarnya.my untuk rujukan dan pengesahan.
"Sekiranya maklumat tidak betul boleh meninggalkan impak negatif kepada diri kita dan masyarakat sekeliling atas penyebaran maklumat tidak tepat ataupun palsu," jelasnya. Tentang dasar dan polisi kerajaan, Ripin berkata, kedua perkara itu harus difahami dan diterima oleh rakyat.
Ia mesti diterima dan dimaklumkan kepada masyarakat umum supaya menjadi satu hubungkait yang mendapat memberi manfaat.
Tentang program, Ripin berharap peserta membantu menyebarkan maklumat diterima kepada ahli keluarga, jiran dan masyarakat di sekeliling mereka.
Program dicadang diadakan di DUN Lambir serta kawasan luar bandar lain di bahagian Miri.
Ripin sekali lagi mengingatkan rakyat untuk terus mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 demi keselamatan diri dan orang di sekeliling mereka.
"Sikap kita secara individu, ahli keluarga dan masyarakat umum untuk menjaga diri, prihatin dengan keselamatan orang lain."
Peserta diajak berbincang tentang topik vaksin dos ketiga dan pakej talian remaja serta peranti Keluarga Malaysia.
Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian ahli Pentarama Jabatan Penerangan.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Aziz Abdul Rahman.
utusanborneo.com.my/2021/10/28
|