Jonathan (dua kiri) bersama wakil penduduk lain ketika meninjau jambatan uzur yang akan dinaiktaraf.
RANAU: Penduduk Kampung Bahab menarik nafas lega selepas mendapat peruntukan RM20,000 daripada Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin.
Peruntukan terbabit adalah bagi menaik taraf jambatan kayu sepanjang 40 kaki yang sudah reput merentangi sungai Mansahaban.
Jambatan terbabit juga adalah laluan utama yang digunakan penduduk untuk ke kawasan tanah pertanian dan sawah padi mereka.
Jonathan berkata menerusi peruntukan tersebut jambatan kayu itu akan dinaiktaraf kepada jambatan konkrit agar lebih tahan lama berbanding jambatan kayu.
“Peruntukan diluluskan semasa lawatan ke kampung Bahab yang turut diiringi beberapa Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau dan wakil penduduk Kampung Bahab.
“Saya harapkan penduduk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan jambatan ini yang mampu memudahkan penduduk meneruskan kerja pertanian terutama perusahaan tanah sawah untuk tanaman padi,” katanya.
Sementara itu Pengerusi JPKK Kampung Bahab, Mohd.Alfian Sahadi yang mewakili penduduk merakam penghargaan kepada Jonathan selepas meluluskan peruntukan menaiktaraf jambatan kayu yang sudah uzur.
Katanya jambatan itu penting berikutan kemudahan utama penduduk untuk ke kawasan sawah padi yang juga mata pencarian harian mereka.
"Jambatan kayu yang sudah dibina sejak puluhan tahun ini belum mendapat peruntukan pembaikan meskipun permohonan sudah diajukan kepada pihak berkenaan sebelum ini.
“Kita berterima kasih dengan pemimpin kelahiran tempatan yang mengambil berat dengan keperluan penduduk dan kita berharap beliau dapat meneruskan hasratnya untuk menabur bakti kepada seluruh lapisan masyarakat Ranau,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Jonathan kerana dianugerahkan gelaran Datuk baru-baru ini.
utusanborneo.com.my/2021/10/28
|