REMUK: Keadaan motosikal mangsa yang remuk selepas kemalangan.
PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Kinabalu - Papar berhadapan sebuah kedai menjual perabot di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata kejadian jam 10 pagi itu membabitkan motosikal dinaiki mangsa dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Hasil siasatan polis mendapati, kenderaan MPV yang dipandu seorang lelaki 59 tahun dalam perjalanan membuat pusingan ‘U’.
“Semasa kejadian itu kenderaan terbabit kemudian dirempuh oleh penunggang motosikal dari arah bertentangan Jalan Putatan - Kota Kinabalu,” katanya.
Menurutnya impak rempuhan terbabit menyebabkan mangsa berumur 22 tahun itu mengalami cedera parah di bahagian kaki dan muka.
“Mangsa yang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu disahkan meninggal dunia pada jam 11.00 pagi hari sama.
“Pemandu kenderaan MPV itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa kini masih berada di Unit Forensik, HQE1 untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
utusanborneo.com.my/2021/10/28
|