[size=0.8]
ALOR SETAR: Seorang nelayan cedera di kaki kiri akibat terkena kipas bot ketika keluar menangkap ikan pada kedudukan enam batu nautika dari Muara Kuala Kedah, di sini, tengah hari semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata susulan kejadian itu Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) melakukan bantuan pemindahan perubatan (MEDEVAC) dan kecemasan ke atas mangsa yang juga warga Thailand, Saithongthae Sutham, 53.
Katanya, pemilik bot berkenaan, Thng Ian Wei menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah bagi mendapatkan bantuan MEDEVAC.
"Berikutan itu bot PERKASA 1226 segera diatur gerak ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan dan mangsa yang juga tekong bot nelayan Kelas C itu di bawa ke jeti berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati, mangsa mengalami kecederaan di kaki kiri ketika sedang melepaskan tali yang terbelit pada kipas enjin bot itu kira-kira jam 12.45 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu mangsa di bawa ke Jeti Feri Penumpang Kuala Kedah, sebelum dihantar ke sebuah pusat perubatan swasta untuk rawatan lanjut.
"Maritim Malaysia memohon kerjasama masyarakat, terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-7310579," katanya.