KUCHING: Seorang lelaki tempatan di kawasan Siburan ditangkap pada 25 Oktober lalu kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen yang sah.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memberitahu seorang mangsa berumur lewat 50-an membuat laporan bahawa suspek meminta bayaran dan mengenakan faedah yang tinggi setiap bulan.
“Mangsa mendakwa bahawa dirinya membuat pinjaman sebanyak RM8000 dari peminjam wang tersebut.
“Faedah setinggi 20 peratus dikenakan dan mangsa diminta untuk membayar balik pinjaman dalam tempoh tiga minggu oleh lelaki yang dikenali sebagai Ah Wie,” jelasnya.
Tambahnya, mangsa juga disuruh untuk membayar jumlah keseluruhan mencecah RM290,000 atas alasan lewat membuat bayaran semula.
Sejumlah RM100,000 telah dibayar semula oleh mangsa melalui bayaran bulanan sebanyak RM7950 ke RM8750 sebulan sejak 2019 dan dimasukkan ke dalam akaun suspek.
Katanya, mangsa turut diminta untuk membayar RM265 sehari jika lambat membuat bayaran ansuran bulanan.
Abang Zainal turut menasihati orang ramai supaya membuat pinjaman dengan institusi kewangan atau pemberi pinjam wang yang memiliki lesen sah.
Jelasnya lagi, orang ramai disarankan untuk mengelakkan diri daripada membuat pinjaman daripada peminjam wang tanpa lesen yang sah.
Kes disiasat dibawah seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Jika sabit kesalahan, denda tidak kurang daripada RM250,000 tetapi tidak melebihi daripada RM1,000,000 dikenakan atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan dalam kes kedua atau kesalahan berikutnya, hendaklah dikenakan sebatan sebagai hukuman tambahan.
sarawakvoice.com/2021/10/27
|