MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) digesa untuk memperhalusi semula fungsi dalam sistem EnterSarawak agar lebih mesra pengguna dan menjimatkan tenaga serta masa untuk rakyat Malaysia dari negeri lain dan bukan warganegara yang ingin memasuki Sarawak.
Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Alan Ling (gambar) berkata sistem itu seharusnya lebih efektif dan memudahkan para pemohon untuk mengemukakan permohonan EnterSarawak di samping dapat menjimatkan masa ketika mengemukakan permohonan kemasukan ke Sarawak.
"Ia termasuk menjadikan maklumat yang diisi pada sistem EnterSarawak dapat dipinda oleh pemohon serta menambah satu bahagian untuk mengemukakan maklumat tambahan pemohon dalam sistem tersebut selepas nombor rujukan telah diperolehi agar tidak perlu mengulang untuk membuat permohonan baharu semula lagi.
"Malahan, sistem EnterSarawak ini perlu ditambah baik agar para pemohon yang perlu mengemukakan dokumen tambahan dibenarkan mengakses semula permohonan asal mereka tanpa perlu membuat permohonan baharu sekali lagi," kata Alan dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak berkata maklumat yang sama harus diisi sekali lagi kerana sistem tidak menyimpan sejarah ‘cache’ permohonan terdahulu dan perkara ini merumitkan para pengguna serta membazir masa.
Alan berkata, bukan warganegara dan warganegara Malaysia yang bukan berasal dari Sarawak masih perlu membuat permohonan melalui EnterSarawak kecuali penjawat awam dan pekerja sektor swasta yang berkhidmat di Sarawak serta pasangan dan anak warga Sarawak yang ingin memasuki negeri ini.
Dalam pada itu, Alan turut menasihati orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan menjaga diri dalam usaha untuk bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 khususnya di negeri Sarawak.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|