KUCHING: Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di Dewan Rakyat tidak seharusnya dilihat sebagai 'masalah besar'.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata penangguhan itu hanya bagi membolehkan Peguam Negara memberi penjelasan lanjut mengenai cadangan pindaan kepada anggota kabinet.
"Penangguhan (pembentangan RUU) tiada masalah besar, hanya saya difahamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar beberapa perkara dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan terutamanya mengenai definisi Persekutuan.
"Ada beberapa perkara perlu diperjelaskan sahaja...Tiada masalah besar, (ia) hanya soal pemahaman dan penjelasan lanjut oleh AG (Peguam Negara)," katanya apabila diminta mengulas mengenai penangguhan pembentangan RUU bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan selaras MA63.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusian 2021 (ICOSSH 2021) dan menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoA) antara Kerajaan Negeri dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau secara peribadi agak kecewa dengan penangguhan tersebut.
"Sepatutnya RUU ini dapat diatur dan terus dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat kali ini, yang mulanya dijadual semalam (26 Oktober) tetapi memandangkan ada lagi ahli kabinet yang masih memerlukan penerangan terperinci daripada AG, saya difahamkan ia terpaksa ditangguh.
"(Perlu diingat) ia tidak dibatalkan, cuma ditunda pembentangannya ke tarikh baharu. Harapan saya apa diusahakan oleh Datuk Seri Wan Junaidi untuk memastikan hak-hak Sarawak yang terhakis termasuk definisi 'Persekutuan' dalam Perlembagaan Persekutuan tidak begitu tepat, tidak terus hilang," ujarnya.
Menurut Abdul Karim di dalam Perlembagaan Persekutuan, definisi 'Persekutuan' merujuk kepada Persekutuan yang dibentuk pada 1957 ketika Malaysia belum ditubuhkan.
"Apa jadi dengan Persekutuan Malaysia, Sabah dan Sarawak, sebab itulah ia perlu dipinda termasuk beberapa perkara lain. Apapun bagi saya penangguhan ini perkara kecil.
"Sepatutnya menteri-menteri yang kurang faham itu, bacalah undang-undang itu, tidak perlulah AG nak huraikan lagi," katanya sambil menambah amat berharap RUU berkenaan dapat dibentangkan dalam Parlimen pada waktu terdekat," ujarnya.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|