KOTA KINABALU: Operasi kaunter pembayaran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi Dewan Serbaguna Damai dan Centre Point akan mula dibuka berkuat kuasa 1 November depan.
Mayor DBKK Datuk Noorliza Awang Alip berkata, kaunter pembayaran berkenaan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 3 petang setiap Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.
Katanya, pembukaan dua kaunter pembayaran itu juga sebagai tambahan kepada kaunter yang lebih awal beroperasi sebelum ini seperti kaunter pembayaran utama di bangunan Ibu Pejabat DBKK dan kaunter pembayaran DBKK di tingkat 6 Menara UTC.
"Selain melalui kaunter, urusan pembayaran dan memeriksa bil masih boleh dilakukan secara atas talian dengan melayari laman sesawang atau melalui beberapa aplikasi.
"Pelanggan juga boleh memuat turun aplikasi melalui Playstore atau Appstore bagi mendapatkan perkhidmatan DBKK e-cukai bagi cukai kadaran sahaja dan Sabah Pay untuk cukai kadaran atau kompaun," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, aplikasi Jompay menerusi 'Biller Code: 56739' untuk pembayaran cukai kadaran sahaja.
Katanya, DBKK mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan hanya pengunjung yang lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 dibenarkan memasuki premis DBKK.
Menurutnya, setiap pengunjung perlu menunjukkan Sijil Vaksinasi Digital COVID-19 di tempat pemeriksaan.
Noorliza berkata, pengunjung juga perlu mematuhi SOP sedia ada iaitu memakai pelitup separuh muka, pemeriksaan suhu badan dan mendaftar sebagai pelawat melalui aplikasi MySejahtera.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|