USIR: Anggota PPM memeriksa perahu yang dinaiki tujuh warga asing berkenaan.
SEMPORNA: Cubaan tujuh individu termasuk seorang kanak-kanak warga asing masuk ke perairan negara gagal selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Siamil, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, anggota PPM yang menjalankan tugas rondaan mengesan sebuah perahu tiada nombor pendaftaran disyaki dari negara jiran cuba memasuki perairan negara.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna DSP Mohammad Ismail berkata pasukan keselamatan bertindak menahan perahu berkenaan untuk pemeriksaan. “Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak di dalam perahu berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut, kesemua mereka termasuk juragan yang berumur 40 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Katanya, kesemua warga asing berkenaan diusir keluar dan diberi peringatan agar tidak cuba memasuki perairan negara lagi.
“Tindakan itu selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.
Mohammad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritin untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Maklumat boleh disalurkan melalui talian 24 jam atau menggunakan aplikasi Whatsapp ke Pusat Kawalan PPM Sabah di talian 0139391197,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|