KUCHING: Seorang pemberi pinjam wang tidak berlesen (along) diberkas polis kerana didakwa memaksa pelanggannya membayar balik pinjaman dengan mengenakan faedah yang terlalu tinggi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abg Ahmad berkata tangkapan dibuat pada Isnin di kawasan Siburan susulan laporan dibuat oleh seorang mangsa yang mendakwa dia perlu membayar sehingga RM290,000 selepas meminjam RM8,000 daripada suspek.
Menurutnya, mangsa mendakwa dia telah membayar balik pinjaman tersebut sebanyak RM100,000 sejak 2019.
"Mangsa membuat bayaran balik setiap bulan sebanyak RM7,950 hingga RM8,750 dan turut diminta membayar RM265 sehari jika terlambat membayar ansuran bulanan.
"Mangsa membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati terhadap suspek kerana masih meminta bayaran dan mengenakan faedah yang tinggi," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
"Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Abang Zainal turut menasihatkan masyarakat agar mengelak daripada membuat pinjaman wang daripada mana-mana pemberi pinjam wang tidak berlesen.
"Sekiranya perlu membuat pinjaman wang, buatlah dengan mana-mana institusi kewangan, koperasi atau pemberi pinjam wang berlesen," ujarnya.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|