Program-program pemantapan diyakini dapat meningkatkan kecemerlangan murid : Robert
SAMPAIKAN: Madalina (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Yazid (kanan) yang mewakili Robert sempena program itu.
KENINGAU: Program Pemantapan dan Pembudayaan (PLC) yang dilaksanakan diyakini mampu meningkatkan kualiti pengajaran para guru yang juga secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian murid dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) kata Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik.
Jelasnya, program pembelajaran professional secara berkumpulan itu dilihat dapat meningkatkan profesionalisme keguruan serta kemahiran guru sekaligus memastikan pencapaian murid dapat ditingkatkan.
“Saya percaya pelaksanaan program ini pastinya akan memberikan impak positif kepada murid, kumpulan guru dan juga warga sekolah secara amnya,” katanya semasa merasmikan Program Penangguhan Pemantapan dan Pembudayaan peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor yang diadakan baru-baru ini.
Teks ucapan robert disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Solidarati Tanah Airku (STAR) merangkap Ketua Biro Agama Islam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles.
Dalam pada itu, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut memuji usaha Guru Besar Madalina Mary Juanis yang juga selaku penasihat program dan barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) dan Fasilitator yang telah berusaha menjayakan program berkenaan.
“Selepas ini saya harap lebih banyak program sekolah yang akan dilaksanakan daripada Unit Kurikulum, Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid untuk menonjolkan bakat murid yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan,” katanya.
Program tersebut merupakan salah satu Program Perantisan 2 Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan NPQEL yang dipilih oleh Penolong Kanan Pentadbiran yang juga Pengerusi program Dang Norintan @zuraidah Matshah bagi melengkapkan kursus untuk prasyarat pelantikan menjadi guru besar.
Robert berharap agar semua murid, guru dan warga sekolah SK Bingkor akan terus cemerlang bagi memastikan lebih ramai pelajar berkualiti dapat dilahirkan sekaligus mengharumkan nama sekolah seiring dengan sekolah-sekolah yang sudah bertapak di puncak kecemerlangan.
Turut hadir Guru Besar Madalina Mary Juanis; Penolong Kanan Pentadbiran merangkap Pengerusi Program Dang Norintan @Zuraidah Matshah; Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Fabian Saverinus; Pegawai School Improvement Specialist Coach (SISC+) Bahasa; Saleha Mersin @Wainon; Pegawai SISC+, Sains dan Matematik Aron Abel Marcus dan barisan Fasilitor Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Harry Pakang; Penolong Kanan Kokurikulum Juinah @ Inah Unggi Manggong serta Penolong Sidang Petang Jelika Ribus Tingadon.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|