KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang berada di fasa akhir untuk memantau data-data vaksinasi bagi membolehkan pelajar tingkatan 5 dan 6 kembali ke sekolah tanpa penggiliran.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin memberitahu, kementeriannya akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat setelah selesai melihat data-data vaksinasi terkini.
Jelas beliau, secara keseluruhannya, hampir lebih 80 peratus telah divaksin dos pertama dan terdapat negeri pula telah melebihi 90 peratus.
“Untuk murid tingkatan 5 dan tingkatan 6, sebahagian besar telah lengkap maka oleh sebab itu kami di kementerian sedang di peringkat akhir memantau data-data vaksinasi untuk membolehkan murid tingkatan 5 dan 6 ini kembali datang ke sekolah tanpa penggiliran.
“Ia akan diumumkan dalam masa terdekat apabila kita selesai melihat data-data vaksinasi terkini kerana dos pertama sudah ramai dan Dos kedua pula semakin hari semakin meningkat.
“Jadi kita akan terus pantau sebelum kita umum murid untuk sekolah-sekolah yang mana vaksinasinya mencecah peratusan tertentu, mereka mungkin dibenarkan ke sekolah tanpa penggiliran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang, Kuching pada Selasa.
Dalam sesi lawatan itu, Datuk Dr Radzi berkesempatan menyerahkan secara simbolik komputer riba kepada 20 orang pelajar tingkatan 3 daripada golongan B40.
Sementara itu, bercakap mengenai isu sekolah daif di negeri ini, beliau memberitahu, pihaknya perlu menyelesaikan perkara paling asas iaitu tanah yang mana isu tanah ini menjadi punca kelewatan pembinaan bangunan daif sekolah di negeri ini.
“Kita nak selesaikan pemutihan tanah sebab kalau tanah itu tidak menjadi milik Suruhanjaya Tanah Persekutuan maka tidak boleh dibina bangunan di atas tanah tersebut dan ianya akan melewatkan pembinaan bangunan bangunan daif.
“Jadi, kita lihat kepada perkara paling asas iaitu menyelesaikan perkara ini dan pada masa hadapan apabila isu tanah selesai, prosesnya akan lebih cepat dan teratur,” jelas beliau.
sarawakvoice.com/2021/10/26
|