MIRI: Seorang lelaki maut akibat cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 76 Jalan Persisiran Pantai, berhampiran Simpang Sepupok, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila mangsa berusia 28 tahun sedang menunggang motosikal dari arah Kampung Iran menuju ke Batu Niah.
Beliau berkata, apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai bergesel dengan kenderaan lain yang menggunakan jalan tersebut.
“Mangsa terbabas di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Batu Niah kira-kira jam 1.30 petang.
“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa cedera di bahagian kepala dan putus tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Alexson berkata, siasatan awal mendapati mangsa bergesel dengan kenderaan lain lalu terbabas dan hilang kawalan di atas jalanraya dan kemudian bahagian hadapan motosikal dilanggar lagi dengan kenderaan yang lain menggunakan jalan tersebut.
Katanya, saksi bebas dan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan masih lagi dikesan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
sarawakvoice.com/2021/10/22
|