Jambatan Enseriban yang kembali rosak.
LIMBANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM4.2 juta untuk membina jambatan kekal Enseriban yang kembali rosak meskipun sudah dibaiki syarikat pembalakan sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata pembinaan jambatan baharu itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Menteri KPLB Datuk Hasbi Habibollah melalui panggilan telefon pada Khamis.
“KPLB mempunyai peruntukan sebanyak RM4.2 juta untuk membina Jambatan Enseriban dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).
“Kita amat berharap projek ini akan dilaksanakan tahun ini kerana ia melibatkan proses reka bentuk, tender dan sebagainya,” katanya kepada media hari ini.
Kerosakan teruk Jambatan Enseriban sebelum ini sudah dibaiki syarikat pembalakan berkaitan.
Laluan itu amat penting dan menjadi penghubung kira-kira 15 buah kampung di kawasan berkenaan.
Ketika jambatan itu rosak, penduduk yang mendiami kawasan terbabit termasuk orang ramai yang ingin melalui jalan berkenaan terpaksa menggunakan laluan alternatif Jalan Kubong-Hulu Pandaruan.
Jambatan Semena yang rosak teruk dikongsi penduduk dalam laman Facebook sebelum ini.
Mengulas mengenai kerosakan Jambatan Semena pula, Paulus mahu syarikat berkaitan membaik pulih jambatan tersebut segera.
Pada masa ini katanya penduduk di kawasan berkenaan terpaksa menggunakan jalan yang agak jauh melalui Lubuk Lalang ke Kubong.
Katanya lagi kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membina Jalan Medamit ke Rumah Aling Pulau Brunei melibatkan jambatan Semena di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
utusanborneo.com.my/2021/10/22
|