Alor Setar: Penahanan seorang lelaki membawa kepada penemuan barangan kemas yang dilaporkan hilang di sebuah kedai emas di Kompleks Sri Putra Seberang Jalan Putra di sini, yang dipecah masuk pagi semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 11 pagi semalam daripada lelaki yang dipercayai pemilik kedai emas berkenaan berkaitan kehilangan terbabit.
"Hasil maklumat serta risikan, kami menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Jalan Raja di sini, jam 6.45 petang semalam.
"Penahanannya membawa kepada penemuan 16 utas rantai, 52 cincin, 65 utas rantai leher, 15 rantai bangle, 25 set batu cincin serta seutas gelang tangan Jade," katanya pada kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, hasil semakan, lelaki terbabit mempunyai 17 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.