[size=0.8]Oleh Noorazura Abdul Rahman - Oktober 19, 2021 @ 10:56am[email protected]
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, ketika bertitah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M Peringkat Negeri Kedah yang diadakan secara dalam talian di sini, hari ini.- Foto/Ihsan Pejabat SUK
ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru umat Islam agar membudayakan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan termasuk dalam mencegah pandemik COVID-19.
Titah baginda, sunnah bersifat komprehensif, memiliki keseimbangan dan bersifat realiti dengan meraikan segala yang berkaitan seperti keperluan serta keinginan manusia.
"Sesungguhnya, setiap perkara yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW itu kekal relevan pada setiap zaman dan keadaan, contohnya ketika pandemik COVID-19, terdapat kaedah pencegahan untuk menangani penularan wabak ini telah dinyatakan di dalam hadis Nabi Muhammad.
"Hakikat virus ini adalah sejenis wabak berjangkit, pakar yang berautoriti telah menyarankan kaedah pencegahan yang selari dengan ajaran Rasulullah iaitu pencegahan penyakit melalui udara, titisan air dan sentuhan.
"Amalan kuarantin juga adaptasi daripada hadis riwayat Al-Bukhari yang bermaksud: 'Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut, janganlah kamu keluar dari situ.'
"Oleh yang demikian, jelaslah bahawa sunnah yang diajarkan baginda membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada kehidupan di akhirat malahan kehidupan di dunia ini," titah baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M Peringkat Negeri Kedah yang diadakan secara dalam talian di sini, hari ini.
Sultan Sallehuddin, turut bertitah agar rakyat sentiasa berkerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai strategi untuk peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik ini.
Titah baginda lagi, pematuhan itu penting demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negeri ini secara berterusan sepanjang masa.
"Orang yang sentiasa memerhati serta menekuni, kehidupan Nabi Muhammad SAW dan sirahnya akan sentiasa terpandu ke arah kebaikan dan kesempurnaan kehidupan.
"Rakyat juga hendaklah mengukuhkan perpaduan sesama kita, dan membudayakan nilai murni, selaras dengan garapan akhlak terpuji ajaran Nabi Muhammad SAW," titah baginda.
Sempena sambutan Malidur Rasul kali ini, baginda juga berkenan menganugerahkan Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah dan penerima Anugerah Khas.