CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4937|Reply: 0

seni chopsticks!!

[Copy link]
Post time 12-11-2008 04:31 PM | Show all posts |Read mode
Dua baru bernilai






SEPANJANG lebih lima dekad mengemudi kehidupan, Kho Ling Piew, 55, tidak pernah terfikir mahu mengumpul alat yang digunakan untuk makan. Sekian lama menyuap makanan dengan chopsticks (penyepit), minat untuk mengumpulnya hanya terbit tiga tahun yang lalu.

Walaupun usia obsesi itu baru sahaja bermula pada tahun 2005, namun dia telah pun memiliki koleksi chopsticks yang begitu ekstensif.

Beraneka jenis chopsticks bergantungan di dinding bilik pejabatnya. Terdapat juga bekas-bekas berisi chopsticks pelbagai rupa yang diletakkan di atas rak-rak. Kira-kira tiga buah kotak plastik yang besar bersusun di tepi sudut dinding. Yang pasti, kesemuanya turut berisi chopsticks, alat untuk menikmati makanan yang begitu sinonim dalam kalangan komuniti Cina.

"Ini semua yang saya simpan di pejabat. Di rumah, ada banyak lagi," kata Ling Piew mesra. Tangannya ligat mengeluarkan beberapa paket chopsticks dari sebuah kotak plastik. Kedatangan Kosmo! di pejabatnya di Wisma MCA Selayang, Batu 17, Rawang, Selangor baru-baru disambut dengan penuh keramahan.





Koleksi chopsticks Ling Piew penuh variasi. Bukan sahaja dari segi asal negaranya, bahkan juga bahan buatannya. Ada dari China, Mongolia, Hong Kong, Korea, Jepun, Vietnam, Thailand, Indonesia, Kemboja dan tidak kurang juga dari dalam negara. Ia bukan sahaja yang diperbuat daripada buluh, kayu atau seramik bahkan daripada gigi, tulang, jade serta logam. Kini, terdapat kira-kira 5,000 pasang chopstick kesemuanya.

Menceritakan bagaimana dia mula berminat untuk mengumpul chopsticks, pemegang jawatan Setiausaha MCA bahagian Selayang itu memberitahu, hobinya itu bermula ketika dia mengikuti satu lawatan ke Shanghai, China, tiga tahun lalu.

KOTAK set chopsticks dari Hong Kong yang ditulis puisi atau peribahasa.

Dalam lawatan itu, seorang pemandu pelancong telah menghadiahkannya chopsticks. Dia begitu tertarik dengan hadiah chopsticks yang diberikan, lalu terfikir mengapa tidak dia mempunyai koleksi chopsticks?

"Dalam kalangan masyarakat Cina, chopsticks membawa makna yang baik. Hadiah hari jadi berupa chopsticks, mangkuk makanan dan angpau membawa maksud, senang cari makan.

"Saya juga sering menganggap chopsticks sebagai lambang persahabatan dan penyatuan. Chopsticks tidak bernilai jika hanya sebatang. Dua baru bernilai dan dua juga, baru boleh berfungsi. Begitu juga manusia, kita tidak kuat jika bersendirian.

" Percaya atau tidak, kebanyakan chopsticks yang unik ini saya peroleh daripada kawan-kawan dan kenalan yang tahu minat saya mengumpul chopsticks. Bila mereka ke luar negara, mereka belikan untuk saya. Tidak banyak yang saya beli sendiri.

"Saya catatkan nama mereka yang memberi chopsticks kepada saya. Dengan ini, saya telah membina persahabatan melalui chopsticks," katanya.


CHOPSTICKS dari Shanghai, China ini disimpan di dalam satu bekas kaca.

Ling Piew nampaknya begitu menghargai setiap chopsticks yang dimiliki. Bagi chopsticks yang tidak didatangkan dengan pembalut, beliau membalutnya dengan kemas, lalu menampal maklumat mengenai tarikh, dari mana dan siapa yang memberinya.

"Penduduk sekitar pun ada yang datang ke pejabat saya untuk melihat koleksi saya. Ada juga yang memanggil saya 'Mr. Chopsticks' ('Encik Chopsticks')," katanya.

Meletakkan beberapa chopsticks yang unik di atas meja, Ling Piew menunjukkan keunikannya. Satu set chopsticks Mongolia diperbuat daripada tulang yang dilengkapi dengan pisau meraih perhatian. Begitu juga chopsticks yang boleh dipendekkan dan dimasukkan ke dalam bekas seperti pen, chopsticks yang diperbuat daripada batang pokok kelapa sawit, chopsticks Vietnam yang disusun seperti kipas dan chopsticks besi dari Korea.


CHOPSTICKS yang dijual di pasar raya turut dibeli oleh Kho Ling Piew.

Koleksinya turut meliputi edisi terhad seperti set Royal Selangor, set chopsticks 100 tahun Hospital Tung Shin, Kuala Lumpur dan set chopsticks Olimpik Beijing serta chopsticks biasa yang dijual di kedai-kedai runcit atau di pasar raya.

"Saya sanggup beli chopsticks stok lama yang tersimpan di dalam kedai yang tidak dibeli orang. Bila masuk pasar raya pula, saya akan cari chopsticks dulu!" katanya tersenyum.


LUKISAN pada chopsticks ini menarik perhatian.

"Satu lagi sebab saya mengumpul chopsticks ialah ia satu hobi yang murah. Kalau di kedai, biasanya harga cuma sekitar RM2, RM5 sahaja. Paling mahal yang pernah saya belipun RM150," katanya.

"Saya hanya kumpul, tetapi saya tidak menggunakannya. Kalau hendak guna, 10 tahun pun tak habis!" ujarnya sambil ketawa.

Selain tertarik dengan rupa chopsticks, dia juga mengakui minat mengumpul chopsticks kerana suka melihat lukisan atau ukiran yang terdapat pada chopsticks dan tempat letaknya. Dia juga menyukai peribahasa yang disertakan bersamanya.

"Mei sek puk lu mei chi. Maknanya makanan yang baik menjadi kurang baik tanpa alat (untuk makan) yang baik," katanya sambil merujuk kepada satu set chopsticks dari Hong Kong.

DIPERBUAT daripada tulang dari Mongolia dan didatangkan dengan pisau.

"Benarlah peribahasa itu. Kalau alat tidak baik, makanan yang sedap pun jadi tidak baik. Macam kita guna pen, kalau ada idea baik tetapi pennya tidak bagus...susah juga hendak tulis dan tidak bagus juga jadinya," katanya.

Ditanya apa yang akan dilakukan dengan chopsticks-chopsticksnya kelak, Ling Piew berkata, beliau berhajat untuk membuat satu pameran khas dan jika perlu menjualnya, beliau hanya mahu menjual kepada mereka yang mahu menjadikannya sebagai hadiah.

"Dalam pameran itu, saya akan menjemput kesemua rakan yang pernah menghadiahkan chopsticks kepada saya dan menunjukkan bagaimana ia menjadi lambang persahabatan antara kami.

Sebenarnya, saya sendiri tidak pasti sama ada terdapat orang lain yang mempunyai koleksi chopsticks yang begitu banyak seperti saya," katanya yang bertemu jodoh ketika berusia 39 tahun kerana kesibukan dalam politik.

"Isteri saya juga memahami dan memberi sokongan terhadap minat saya mengumpul chopsticks. Cuma, dia bagi syarat, jangan bersepah," kata Ling Piew berseloroh.


KHO LING PIEW menunjukkan cara memegang chopsticks yang betul.

Terlanjur bercerita tentang perkahwinan, Ling Piew sempat memberitahu kepercayaan menarik tentang chopsticks dalam kalangan masyarakat Cina.

"Kalau anda suka pegang chopsticks di hujung, orang kata, anda akan kahwin dengan jiran dekat, sebab hujung dua chopsticks merapat. Kalau suka pegang chopsticks dekat pangkal pula, anda akan kahwin dengan orang jauh, orang China atau orang Hong Kong," ujar lelaki yang suka tersenyum ini.

Namun dalam keriangan, ketika berbicara tentang chopsticks yang merupakan cerminan budaya masyarakat Cina itu, ada nada kesal yang terkandung dalam butir bicaranya.

"Anak muda Cina sekarang sudah tidak lagi mengambil berat tentang penggunaan chopsticks ketika makan. Kehidupan Barat telah meresapi gaya hidup mereka. Tidak ramai yang tahu menggunakan chopsticks. Saya kira, 70 peratus daripada mereka tidak tahu menggunakan chopsticks dengan betul," katanya.



aku pun suka makan ngan chopstik ni... kalu kat rumah aku...mmg aku makan nasi pun ngan chopstik kengkadang (dalam mangkok).....  wokey aper sesekali...  

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 08:45 AM GMT+8 , Processed in 0.562002 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list