View: 3915|Reply: 5
|
seni jalanan warnai kota!!
[Copy link]
|
|
Seni jalanan warnai kota
Oleh Diyanah Anuar
Generasi muda cetus idea, kreativiti cara unik
SEKALI pandang, lukisan seakan-akan mural yang dilakarkan di belakang lorong, tiang konkrit mahupun tembok pembahagi jalan tampak sama saja, tidak kira anda melihatnya di bandar raya New York, Tokyo mahupun Kuala Lumpur.
Anda boleh menemui lakaran kreatif ini hampir di mana saja termasuk di tempat yang tidak terfikir boleh dicapai tangan - di tembok konkrit paling tinggi atau di celahan dinding bangunan, di situ seni jalanan ini mewarna suasana.
Apa yang menarik, lakaran cetusan kreatif ini memancarkan sifat yang hampir sama. Konsep persembahan, lukisan, warna, gaya berus, teknik semburan, stensil atau apa saja kaedah yang digunakan tetap sama, biar dilakar anak-anak muda Hispanic di Los Angeles (LA) mahupun remaja tempatan di Bukit Bintang. Kehadiran seni jalanan ini, biar dianggap sesetengah pihak berunsur vandalisme, nyata menarik perhatian ramai kerana keunikannya.
Apakah seni jalanan boleh disamakan dengan aliran baru sosiol, ledakan perasaan generasi muda atau suatu cabang baru dalam berkarya dan melontarkan kreativiti? Nyata, seni jalanan mencetus fenomena dalam kehidupan moden.
Mungkin ada yang memberi persepsi negatif terhadap seni jalanan dan mengaitkannya dengan perbuatan individu tidak bertanggungjawab menconteng harta awam, jauh sekali menghormati kemudahan yang disediakan. Namun, bagi mereka yang peka seni, setiap contengan atau lakaran adalah karya yang mempunyai nilai estetika tinggi.
Lukisan yang lazimnya disertai mesej ringkas dengan pengertian mendalam adalah cabang seni yang digelar 'street art'. Biarpun kebanyakan karya seni ini tampak terlalu ringkas atau kompleks, apatah lagi tempatnya terletak di jalanan, statusnya boleh disamakan dengan karya seni lain yang mengandungi bermacam tafsiran baik pada pengkarya atau mereka yang melihatnya.
| PENGKARYA muda menguji tahap kreativiti masing-masing pada tin gergasi minuman F&N.
| Seni jalanan adalah cabang seni pelbagai dan sentiasa berkembang. Ruang untuk mencurah kreativiti seni jalanan tidak pernah terbatas. Ia boleh dizahirkan di mana saja namun pengkarya seni jalanan rata-rata agak radikal, cenderung meluahkan apa yang terbuku di minda di tempat awam yang sering menjadi tumpuan ramai.
Proses evolusi seni jalanan sedikit sebanyak mewujudkan perubahan. Jika sebelum ini dianggap tidak mempunyai nilai dibandingkan dengan karya seni lain, kini seni jalanan semakin dihargai dan diminati.
Seni jalanan mempunyai sejarah tersendiri, bermula dengan lakaran di dinding gua pada zaman batu hinggalah kepada slogan yang menggunakan stensil untuk kempen politik. Karya seni jalanan kebanyakannya menampilkan gambaran objek berbanding tulisan. Daripada genre tradisional, muncul pula karya seni jalanan cenderung tampil dalam bentuk potret, surrealism serta pop art.
Mengikut kisahnya, munculnya seni jalanan berpunca daripada unsur kapitalisme dalam seni suatu ketika dulu. Karya seni waktu itu cuma dapat dinikmati golongan yang mampu saja. Hasil seni dianggap sebagai komoditi mewah yang dijual pada harga tinggi di pasaran.
Disebabkan itu, pengkarya berjiwa radikal yang tidak dapat mempamerkan karya mereka di dalam galeri seni memilih ruang jalanan sebagai tempat mencurahkan bakat . Tindakan 'membawa' karya seni ke jalanan ini secara tidak langsung menjadikan seni itu lebih dekat kepada orang ramai berbanding ketika ia hanya boleh dilihat di galeri mewah atau berprestij.
Karya seni jalanan sejak dulu bersifat bebas dan dianggap suatu seni urban. Ia sering kali mengetengahkan subjek berbentuk komen sosiol, umpamanya 'suara' protes terhadap dasar yang dilaksanakan pemerintah di sesebuah negara.
Ada juga karya berbentuk sindiran sinis, jenaka dan banyak juga yang memperingati individu, selebriti atau tokoh terkenal.
Tidak hanya di jalanan, seni jalanan sentuhan artis jalanan popular turut diedarkan di kalangan peminat dalam bentuk cetakan dan produk, malah ia dilihat mempunyai pengaruh dalam industri grafik dan pengiklanan.
Cara promosi dan pengiklanan yang menampilkan seni jalanan dilihat dapat menarik minat golongan muda. Galeri seni yang sebelum ini dianggap khusus untuk golongan yang mampu saja sekarang ini sudah mula 'membuka pintu' kepada karya seni jalanan.
Beberapa tahun lalu, karya seni jalanan kian mendapat tempat sekali gus menyaksikan kebangkitan seni jalanan di serata dunia. Banksy, antara nama terkenal yang dikatakan paling awal membawa perubahan kepada seni jalanan dalam dunia moden hingga digelar sebagai 'art terrorist'.
Suatu trend atau aliran bagi seni jalanan pada peringkat itu di mana aktivis menggunakan seni ini untuk menggagalkan usaha pengeluar produk menguasai minda pengguna melalui pengiklanan. Teknik seni ala gerila digunakan aktivis untuk mendedahkan bahawa tidak semua yang dijanjikan pengeluar seperti yang dipaparkan dalam iklan adalah realiti. Banksy, dari Britain cukup terkenal dalam 'memperjuangkan' perkara ini melalui karyanya.
Beliau juga popular sebagai pengkarya seni jalanan yang banyak menyentuh perihal politik, antaranya penentangan terhadap peperangan, kapitalisme dan juga establishment. Banksy pernah ke Chiapas, Mexico yang dikawal puak revolusi Zapatista dan Palestin, di mana beliau menunjukkan sokongan terhadap misi kebebasan melalui karyanya. Bagaimanapun, akibat populariti yang dikecapinya, karya Banksy kini mencecah 10,000 pound sterling (kira-kira RM64,000).
Sebahagian besar pengkarya seni jalanan baru pula menggunakan cabang teknik grafiti. Namun agak sukar untuk berkarya sebebas-bebasnya memandangkan kebanyakan kawasan awam digunakan untuk paparan iklan.
Bagaimanapun, bukan semua seni jalanan bersifat radikal. Ada yang sekadar ditampilkan sebagai luahan kreativiti semata-mata. Yang pasti, seni jalanan sebenarnya ruang untuk menghargai kreativiti dan kekayaan imaginasi serta keupayaan seni setiap individu dalam masyarakat.
F&N cungkil bakat remaja
BAGI menyemarak seni jalanan di Malaysia, syarikat F&N menganjurkan pertandingan Unleash Your Art bertujuan mencungkil bakat seni jalanan di kalangan remaja tempatan.
Pencarian finalis F&N Freestylz 'Unleash Your Art' bermula 1 April lalu dan berakhir pada 20 Mei lalu. Ia dibuka kepada remaja berusia antara 13 hingga 21 tahun dan menjadi landasan untuk generasi muda meluahkan perasaan serta memupuk sikap menghargai seni.
Melalui pertandingan itu, peserta dikehendaki menampilkan karya seni jalanan mereka pada tin minuman keluaran F&N. Setiap penyertaan dinilai dan akhirnya lapan finalis dipilih merebut ganjaran utama iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 serta peluang melancong sambil belajar selama lima hari empat malam ke Jepun.
Pada sesi pertandingan akhir yang diadakan di The Curve, Cineleisure Damansara minggu lalu, lapan finalis menyahut cabaran menjadi pengkarya jalanan segera apabila diminta memindahkan rekaan kreatif yang dihantar kepada penganjur sebelum ini ke atas tin minuman F&N yang tingginya hampir dua meter, dengan menggunakan medium warna pilihan mereka dalam tempoh sembilan jam.
Dua hari sebelum pertandingan akhir, finalis F&N Freestylz berpeluang menghadiri bengkel seni jalanan sebagai persediaan menghadapi ujian sebenar.
Melalui bengkel ini, dua pengkarya seni jalanan tempatan yang terkenal iaitu Sheiko dan Orkibal memberi pendedahan mengenai latar belakang seni jalanan serta berkongsi pengalaman dan tips kepada finalis.
Peserta turut diajar teknik betul melakar kreativiti ke atas tin minuman gergasi mengikut pemilihan medium warna bersesuaian, cara mengecat dan menyembur warna serta tips menyudahkan karya dalam tempoh waktu ditetapkan. Barisan finalis yang rata-rata belum berpengalaman meluahkan kreativiti mereka di jalanan seperti Sheiko dan Orkibal, menggunakan kesempatan yang diberi untuk bertanya pelbagai soalan.
Apa yang dipelajari di sesi bengkel kemudian digunakan sebaiknya pada hari pertandingan akhir.
Pada hari yang dinanti-nantikan, selain gelagat finalis yang sibuk mewarna tin minuman gergasi masing-masing, demonstrasi seni jalanan oleh Sheiko dan Orkibal turut diadakan diikuti persembahan band popular, Meet Uncle Hussain, Joe Flizzow dan Danny One.
Pada pertandingan akhir itu, F&N juga memperkenalkan tiga rekaan tin minuman edisi terhad mewakili tiga artis iaitu perisa oren untuk Meet Uncle Hussain, Ice Cream Soda (Joe Flizzow) dan Sarsi (Danny One). Rekaan pada tin minuman istimewa ini adalah kolaborasi idea antara artis dan pereka F&N.
Debaran mengetahui pemenang bertuah akhirnya terjawab apabila rekaan kreatif yang membawa mesej pemeliharaan dan pemuliharaan alam yang dihasilkan Sin Kok Pei, 20 dari Sungai Petani, Kedah diumumkan sebagai juara F&N Freestylz 'Unleash Your Art'. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
waaaahhhhhhhh.. cantik, kreatif, bagus sungguh..
patut letak dalam pendidikan di sekolah..
budak seni mesti suka eh? |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
salam,
hehehhe...kreatif tak bertempat... |
|
|
|
|
|
|
|
Reply #3 cinta_ungu's post
yg kat pasar seni tu.. bole nampak dr LRT.. kira2 tgh pening2 berdiri dlm LRT bole gak cuci2 mata kat luar... |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|