|
Rahsia rumah KutaiOleh Ziauddin Sharuddin
[size=-2]
ILUSTRASI rumah Kutai asal.
RUMAH Kutai seperti kebanyakan rumah tradisional Melayu memaparkan kehebatan warisan seni bina Melayu, tetapi Kutai yang bermaksud tua memaparkan kehebatan pemikiran orang Melayu melalui penerapan unsur Islam yang amat mendalam.
Tiiada siapa tahu usia sebenar rumah Kutai, tetapi rumah ini sudah wujud ketika Kesultanan Perak diasaskan pada awal abad ke-16.
Reka bentuk rumah Kutai di sepanjang Sungai Perak, Ribu dan Kangsar di Perak, mempunyai hubungan erat dengan Undang-Undang 99 yang menetapkan batasan hubungan antara lelaki dan wanita bukan muhrim.
Jika pembinaan rumah moden tertakluk kepada pelbagai syarat mengikut agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, rumah Kutai lebih hebat kerana aspek estetika, struktural dan fungsi, banyak dipengaruhi oleh unsur kesopanan yang digariskan kitab suci al-Quran.
RUMAH Kutai di Kampung Kepayang, Simpang Pulai,
masih mengekalkan seni bina asal.
Penemuan ini adalah antara hasil kajian pensyarah seni bina Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Anuar Talib, yang berpandangan bahawa pemikiran orang Melayu ketika itu dibendung oleh al-Quran hingga pembinaan rumah banyak menerapkan unsur Islam.
Katanya, pembinaan rumah Kutai memberi penghormatan kepada wanita dengan amat menjaga maruah mereka, terutama yang belum berkahwin atau anak dara.
揜umah Kutai mempunyai satu bilik dan bilik itu untuk anak dara. Jika ada lima anak dara di rumah itu, semua akan tidur sebilik.
揔erahsiaan bilik anak dara dapat dilihat apabila mengikut Undang-Undang 99, pasangan yang baru berkahwin disuruh menziarahi rumah saudara-mara, tetapi apabila bermalam, tempat mereka ialah di luar. Bilik tetap milik anak dara, |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Rumah Kutai mesra alam
Oleh Ziauddin Sharuddin
Pembinaan rumah moden lebih bersifat individualistik, bertentangan dan memusnahkan alam sekitar
SUDAH tiba masa perancang bandar dan arkitek memikirkan semula secara serius untuk menerapkan konsep mesra alam dalam pembinaan rumah.
Perkara ini semakin mendapat perhatian di negara maju, terutama Eropah yang mula menyedari bahawa teknologi moden dalam pelbagai bidang memberi kesan negatif terhadap alam.
Antara bidang yang mendapat perhatian serius ialah industri pemotoran Eropah yang mengenakan syarat lebih ketat kepada pengeluaran kenderaan supaya tidak mencemarkan alam. Kenderaan hibrid dan hidrogen mula diterokai untuk dikeluarkan secara komersil.
PENERAPAN konsep mesra
alam dalam pembinaan
rumah Kutai.
Begitu juga dalam pembinaan rumah yang kini mula disedari perlu lebih mesra alam seperti memanfaatkan komponen bangunan yang semula jadi dan mesra alam serta unsur cahaya dan pengaliran udara semula jadi untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.
Konsep mesra alam sebenarnya sudah lama dipraktikkan tukang rumah Melayu yang membina rumah tradisional, terutama Kutai.
Pensyarah seni bina Univesiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Anuar Talib, berkata tukang rumah Melayu tradisional mengambil teladan dari al-Quran, lantas menjadikan pembinaan rumah bersifat sementara dan diadun bersama alam.
Katanya, keadaan ini tidak berlaku dalam pembinaan rumah moden yang bersifat individualistik, bertentangan dan memusnahkan alam.
"Kita merugikan tenaga dengan penghawa dingin serta menggunakan besi dan aluminium untuk membina rumah. Aluminium dihasilkan menggunakan banyak tenaga dan jika rosak, di mana hendak dibuang? Aluminium mengambil masa ribuan tahun untuk hancur dan pupus," katanya.
Tukang rumah Melayu dan daerah nusantara lain pula menggunakan bahan yang bukan saja tidak mencemarkan alam, malah sebati dengan alam. Sebagai contoh, kepingan lantai kayu mengambil masa antara 40 hingga 60 tahun untuk reput dan kemudian menjadi sebahagian alam.
Malah, katanya tukang rumah zaman dulu menghormati alam kerana jika hendak menebang pokok besar sebagai bahan binaan untuk membuat rumah dan mendapati ada kesan cakaran harimau pada pokok, mereka akan mencari pokok lain.
"Tukang tidak akan usik kerana harimau juga mempunyai pokok sebagai kawasan yang dikuasai haiwan itu. Sekarang nampak saja pokok cantik, hendak ditebang. Ini yang amat dikesali kerana masyarakat moden tidak menghormati alam yang Tuhan jadikan sangat istimewa, simbolik dan penuh rahsia" katanya.
Dari segi penggunaan ruang, katanya rumah teres dua tingkat dengan keluasan 2,000 kaki persegi (600 meter persegi) masih dirasakan kecil kerana rumah dibahagikan kepada ruang khusus, iaitu empat bilik, ruang tamu, makan dan dapur, sedangkan bilik hanya digunakan bagi tempoh antara 10 malam hingga 6 pagi.
Katanya, rumah banglo yang besar mungkin tidak menghadapi masalah ruang, tetapi konsep ruang keterbukaan rumah Kutai boleh diterapkan dalam pembinaan rumah kos rendah dan rumah pangsa kerana rumah tiang 12 lebih luas walaupun bersaiz lebih kecil, antara 422 kaki (126.6 meter) hingga 600 kaki persegi (180 meter persegi).
Keluasan rumah Kutai tiang 12 di Sayong, Kuala Kangsar, hanya 126.6 meter persegi berbanding rumah kos rendah, antara 144 hingga 180 meter persegi. Sebuah rumah Kutai tiang 16 di Kampung Kepayang, Simpang Pulai berukuran 150.6 meter persegi, berbanding rumah teres dua tingkat (empat bilik), 600 meter persegi
Bagaimanapun, ini tidak menjadi masalah kerana rumah Kutai mempunyai banyak tiang (12 atau 16 tiang) yang membolehkan antara empat hingga tujuh bilik dibuat pada waktu malam dengan mengikat kain antara tiang.
Dr Anuar berkata, rumah Kutai tiang 12 dengan mudah menempatkan lapan orang tinggal dengan selesa.
Beliau berkata, konsep rumah moden adalah terlalu privasi menyebabkan banyak berlaku perbuatan tidak baik yang orang lain tidak nampak.
"Rumah Melayu tradisional walaupun mempunyai satu bilik tetap, jarang berlaku perbuatan sumbang mahram. Zaman sekarang yang mempunyai tiga atau empat bilik, macam-macam boleh berlaku apabila bilik berkunci. Secara simbolik apabila berada dalam ruang terbuka, adab dan cara bercakap diawasi ramai orang," katanya.
FAKTA
Rumah Kutai
Kutai bermaksud tua atau purba
Bahagian struktur utama rumah menggunakan kayu keras seperti cengal dan merbau, manakala bahagian kemasan lantai dan dinding menggunakan meranti dan anyaman buluh.
Paku tidak digunakan. Tukang memilih selak dan baji kerana memudahkan rumah dibuka dan dipasang semula.
Rumah Kutai mempunyai dua jenis, rumah Kutai tiang 12 dan tiang 16.
Rumah Kutai mempunyai dua tangga, depan untuk lelaki dan belakang untuk perempuan.
Serambi depan untuk lelaki dan serambi belakang untuk perempuan.
Serambi depan juga digunakan untuk pelbagai tujuan seperti ruang kanak-kanak mengaji al-Quran, tempat tuan rumah berbual dengan tetamu lelaki. Ruang tetamu lelaki tidur, manakala tetamu perempuan tidur di ruang tengah.
Ruang tengah juga digunakan sebagai tempat solat dan menempatkan orang sakit
Hanya mempunyai satu bilik yang khusus untuk anak dara dan kelahiran bayi.
Saiz rumah tiang 12 paling kecil ialah kira-kira 422 kaki persegi dan rumah tiang 16, kira-kira 502 kaki persegi.
Rumah Kutai tiang 16 mempunyai 16 tiang terkeluar dari lantai untuk menanggung beban bumbung dan antara empat hingga tujuh bilik sementara boleh dibuat dengan mengikat kain antara tiang.
Orang kaya dan pembesar Perak (hingga 1850-an) tinggal di rumah Kutai tiang 16 walaupun mampu tinggal di rumah lebih besar. Tidak ada rumah yang mempunyai lebih banyak tiang. Reka bentuk rumah orang kaya dan pembesar Perak dengan orang biasa kelihatan sama dari jauh.
Perbezaan antara rumah orang kaya dan pembesar Perak dengan orang biasa adalah berdasarkan ukiran yang hanya ketara apabila diamati dari jarak dekat. Upah satu panel tingkap berukir (2 X 2 kaki) ialah seekor kerbau.
Orang kaya dan pembesar menggunakan kayu panel sebagai dinding bahagian bawah rumah. Kayu panel dibuat daripada kayu keras seperti cengal dan merbau yang dibelah dan ditarah kira-kira dua inci. Orang biasa menggunakan dinding kelerai yang dibuat daripada anyaman buluh yang tahan antara 10-15 tahun.
Perbezaan lain ialah corak anyaman, terutama bahagian dinding bumbung atau tebar layar yang berfungsi sebagai alamat atau identiti rumah.
Berbeza dengan ukiran rumah tradisional Melayu Kelantan dan Terengganu yang menggunakan ayat al-Quran, rumah Kutai menerapkan unsur alam dalam anyaman dinding seperti bunga cengkih dan kelawang. Haiwan seperti ayam berlaga dan kepala cicak turut digunakan, tetapi kelihatan seperti bentuk abstrak.
Motif alam mempunyai makna mendalam. Ukiran ayam berlaga bermaksud mengingatkan tuan rumah supaya tidak berjudi kerana rumah boleh tergadai.
Rumah Kutai asal dibuat oleh tukang Melayu. Segelintir pekerja lombong bijih timah Cina yang melarikan diri dari pertelagahan Ghee Hin dan Hai San, bekerja dengan tukang Melayu dan mempelajari membuat rumah Kutai.
Tukang Melayu menggunakan kaedah pembinaan yang membolehkan rumah dibuka dan dipasang semula. Ini dilakukan dengan cara satu rasuk panjang dimasukkan ke dalam empat tiang.
Walaupun bentuk rumah sama, tukang Cina memasukkan rasuk ke dalam dua tiang kerana mahu cepat dan menjimatkan kos. Kaedah ini tidak membolehkan rumah dibuka dan dipasang semula.
Tukang Melayu menggunakan sistem ukuran jengkal dan jari. Inci mula digunakan dengan pemerintahan Inggeris dan kehadiran tukang Cina. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
salam
Pernah beberapa kali melawat rumah kutai... di taman rekrasi kat Melaka, Perak, Pahang n lain2..
Yg menarik tangganyer... unik |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|