CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6543|Reply: 0

Tumbesaran setiap kanak-kanak tak sama

[Copy link]
Post time 26-7-2006 03:16 PM | Show all posts |Read mode
Tumbesaran anak...yang sebaya tidak sama

Biasanya, perasaan bimbang akan menghantui kita jika anak tidak setinggi, sebesar atau sekuat kanak-kanak lain.

Usah bimbang, selagi mereka aktif, cergas dan mendapat pemakanan yang betul. Kita tidak perlu khuatir tentang tumbesarannya. Semua tanda-tanda tersebut menunjukkan mereka sedang membesar dengan sihat.

Tetapi jika berat badannya kian susut atau mereka cepat letih, lesu atau sering jatuh sakit, bawalah mereka berjumpa doktor dengan seberapa segera.

Dalam usia 1 hingga 10 tahun, kadar tumbesaran anak-anak memang perlahan jika dibandingkan dengan zaman bayi atau remaja.

Secara purata, berat badan mereka bertambah dua hingga tiga kilogram, manakala ketinggian mereka meningkat enam hingga lapan sentimeter setahun. Di peringkat prasekolah kadar tumbesaran tidak menentu.

Adakalanya mereka seolah-olah berhenti membesar, manakala pada waktu-waktu tertentu, berat badan dan ketinggian mereka bertambah secara mendadak. Keadaan ini tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan.

Walau bagaimanapun, tumbesaran anak kita tidak boleh dilihat dari segi peningkatan berat badan dan ketinggian semata-mata. Pertumbuhan tulang, gigi, otot dan darah juga penting dalam proses tumbesar- an kanak-kanak.

Sebagai contoh, pertumbuhan tulang bukan sahaja mempengaruhi ketinggian kanak-kanak tetapi juga potongan badannya. Dari usia setahun, kaki dan tangan mereka mula memanjang. Kaki akan menjadi lurus sambil otot abdomen dan belakang mengeras untuk memberi sokongan yang lebih kuat. Ini membuatkan mereka kelihatan lebih matang.

Gigi biasanya mula tumbuh apabila bayi mencecah enam bulan. Menjelang usia tiga tahun, gigi susu akan tumbuh penuh iaitu 10 di rahang atas dan 10 di rahang bawah bagi membolehkan mereka mengunyah makanan pejal.

Pertumbuhan gigi susu juga merangsangkan pembesaran rahang dan memudahkan pertumbuhan gigi kekal yang akan menggantikan gigi susu kelak.

Selain gigi, pertumbuhan otot juga mesti selaras dengan pergerakan kanak-kanak yang semakin tangkas. Di samping itu lemak badan mereka akan berkurangan hingga mencapai tahap minimum apabila mereka mencecah usia enam tahun. Itulah sebabnya ramai kanak-kanak dalam usia ini nampak 'kurus' walaupun mereka sebenarnya tidak lemah atau sakit.

Sebagai pengangkut zat makanan dan oksigen ke sel, darah memainkan peranan penting untuk membolehkan anak-anak membesar, bermain dan belajar dengan cergas.

Kekurangan darah atau keadaan-keadaan yang boleh menjelaskan kualiti darah seperti anemia boleh dielakkan dengan memberi anak-anak kita makanan yang berkhasiat dan seimbang.

Tenaga dan zat makanan untuk tumbesaran:

Pemakanan yang betul dapat memastikan anak-anak kita membesar dengan sihat. Namun kadar tumbesaran dan selera makan anak-anak yang baru berlatih dan mencapai usia prasekolah akan berkurangan.

Tabiat makan mereka tidak teratur, sesetengahnya terlalu memilih. Sebagai contoh, mereka bosan dengan makanan yang sama atau mahukan makanan yang sama sehingga berminggu-minggu.

Semua ini adalah perkara biasa, yang penting kita perlu memastikan anak-anak mendapat pemakanan yang betul, sebagaimana yang diperlukan.

Anak-anak kecil sangat aktif, oleh itu mereka memerlukan tenaga yang cukup untuk bermain dan belajar. Tenaga juga amat penting untuk membolehkan sel mereka tumbuh dan organ dalaman mereka melakukan fungsi-fungsi asas termasuklah menghadam dan memecahkan makanan.

Itulah sebabnya anak-anak kecil mesti diberi cukup makanan yang membekalkan tenaga seperti bijirin, kekacang, ubi-ubian dan susu.

Protein daripada susu, produk tenusu, daging, ayam, ikan dan kekacang seperti kacang panjang dan kacang soya adalah diperlukan untuk membina tisu.

Namun, tubuh badan kanak-kanak akan menukar protein menjadi tenaga sekiranya kekurangan makanan yang membekalkan tenaga. Keadaan ini boleh menyebabkan anak-anak mengalami masalah pemakanan disebabkan kekurangan tenaga dan protein.

Anak-anak yang sedang membesar juga memerlukan vitamin dan zat galian untuk melakukan beratus-ratus fungsi dalaman. Khasiat ini terdapat dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan pelbagai jenis makanan. Misalnya daging membekalkan vitamin B yang membantu badan mengeluarkan tenaga dan menggunakannya dengan lebih baik.

Kalsium pula boleh didapati di dalam susu, sayur-sayuran berdaun hijau dan ikan bertulang yang ditinkan (seperti sardin). Antara sumber-sumber ini, susu membekalkan kalsium bermutu paling tinggi yang boleh diserap oleh badan. Di samping itu, susu juga mengandungi vitamin A dan D yang membantu kalsium membina tulang serta gigi menjadi kuat serta sihat.

Kanak-kanak memerlukan zat besi untuk menghasilkan sel darah merah dan mengangkut oksigen. Kekurangan mineral surih ini boleh menyebabkan kanak-kanak lesu, gelisah, pening, kekurangan tenaga dan mengalami masalah anemia (kekurangan zat besi yang boleh dikenal pasti melalui tanda-tanda seperti kepucatan muka dan di bawah kelopak mata).

Bagi memastikan anak-anak kita mendapat zat besi, kita boleh memberi mereka daging, ayam, susu, bijirin sarapan yang diperkuat dengan zat besi, kekacang dan buah-buahan kering.

Elakkan daripada memberi tambahan zat besi melainkan dinasihatkan oleh doktor, ini kerana kelebihan zat besi boleh menimbulkan masalah serius.

Zink paling baik daripada sumber semula jadi. Oleh itu pastikan anak-anak mendapat makanan yang betul dengan memberi mereka makanan seimbang meliputi pelbagai jenis.

Ini termasuklah susu, bijirin, sarapan dan snek yang diperkaya atau ditambah zat serta vitamin untuk pertumbuhan optimal mengikut piawaian seperti Sukatan Pemakanan Yang Disyorkan di Amerika Syarikat (USRDA).

Bawalah anak-anak berjumpa doktor dalam jangka masa yang tetap untuk membolehkan kadar tumbesaran dan pembangunannya diawasi. Doktor akan mencatat berat badan dan ketinggian mereka setiap kali kita membawa mereka ke klinik untuk memudahkan kita mengesan sebarang kelainan atau masalah.

Antara tanda-tanda masalah yang boleh dikesan termasuklah kehilangan berat badan atau tiadanya penigkatan berat badan dalam tempoh beberapa bulan. Ini mungkin menunjukkan kekurangan zat makanan, penyakit kronik, masalah emosi atau masalah keluarga.

Berat badan berlebihan juga boleh menimbulkan masalah kesihatan. Malah mudah mendapat penyakit-penyakit kronik seperti diabetis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung apabila dewasa kelak.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 02:50 PM GMT+8 , Processed in 0.393760 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list