|
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah membenam Kelantan FC 2-0 sekali gus melonjak selaku pendahulu Kumpulan D pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Perlawanan jelas memihak JDT selaku juara 2019 yang menguasai keseluruhan permainan malah skuad Harimau Selatan mula menemui rentak kemenangan hasil sepakan penalti Bergson Da Silva pada babak pertama dan gol Safawi Rasid di babak kedua.
Sebaik aksi bermula, tuan rumah mengancam kubu The Red Warrrios pada minit ke-10 namun bola tandukan Shane Lowry hasil sepakan percuma Safawi Rasid hanya melepasi palang di penjuru kanan gawang ketika penjaga gol, Farizal Harun sudah tertewas.
Skuad kendalian Reezal Zambery Yahya juga tidak mahu ketinggalan bertindak balas pada minit ke-17 apabila bola sepakan lintang Natanael Siringo Ringo gagal disudahkan Nurshamil Abd Ghani biarpun hanya berdepan penjaga gol, Haziq Nadzli.
Asakan bertubi-tubi tuan rumah membuahkan hasil apabila Arif Aiman dijatuhkan Ghaffar Abdul Rahman dan pengadil perlawanan, P Jeevanathan tidak teragak-agak menghadiahkan penalti pada minit ke-31 yang disudahkan Bergson.
Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menambah jaringan selepas bola umpanan jauh Daniel Amir Norhisham pada minit ke-49 membuka ruang buat Safawi yang pantas menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan Farizal.
Harimau Selatan hampir menambah jaringan pada minit ke-61 selepas pemain gantian, Gonzalo Cabrera merembat bola lencong tepat ke penjuru kiri tapi kepantasan Farizal yang merebahkan badan berjaya mengelak gawang dibolosi.
Pemain gantian Safiq Rahim terlepas peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-79 apabila sepakan percumanya di luar kotak penalti terkena palang ketika Farizal sudah tertewas dan keputusan 2-0 memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
NATXO Insa cuba melepasi pemain Kelantan FC. FOTO Johor Southern Tigers |
|
|
|
|
|
|
| |
|