Georgetown: Walaupun Kerajaan Persekutuan menetapkan garis waktu bagi negara mempersiapkan fasa endemik Covid-19 pada akhir bulan depan, sasaran itu mungkin tidak dapat dicapai memandangkan jumlah kes baharu masih tinggi.
Bukan sahaja jumlah jangkitan serta kematian akibat Covid-19 turut meningkat, Malaysia kini berada di tempat ke-21 daripada 223 negara dan wilayah yang terkena wabak berkenaan.
Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, angka kumulatif kes berjumlah 2,049,750, kes harian negara masih dalam lingkungan 20,000 sehari dan kini mula menampakkan trend menurun.
Katanya, ia adalah angka membingungkan dan jelas trend itu menunjukkan jangkitan tidak mungkin berkurang.
"Keadaan ini sangat membimbangkan, malah kerajaan berusaha menangani krisis berkenaan dengan menerapkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dalam usahanya menyeimbangkan kehidupan dan mata pencarian.
"Amat tidak wajar jika isu itu dipolitikkan kerana menjadi kewajiban rakyat Malaysia melakukan usaha bersama dalam membendung wabak dan akhirnya menghilangkan bencana ini," katanya menerusi kenyataan bersama Presiden Health and Safety Advisory Centre Penang, Datuk Dr T Jayabalan di sini, hari ini.
Di Malaysia, dari 3 Januari 2020 hingga 16 September lalu, terdapat 2,030,935 kes Covid-19 dengan 22, 009 kematian, dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Muhamad Farid berkata, fakta itu sudah meresap di setiap pelosok negara dan harus dipandang serius sebagai seruan supaya semua pihak berkepentingan memainkan peranan bagi meminimumkan kesannya serta memungkinkan kembali normal.
"Sebarang percubaan mempolitikkan dan memperoleh mata di Parlimen seperti disaksikan sejak kebelakangan ini menunjukkan ahli politik kita sudah kehilangan arah," katanya lagi.
Sementara itu, Jayabalan berkata, adalah menjadi tanggungjawab dan tugas ibu bapa atau waris bagi menahan anak mereka yang dikuarantin di dalam rumah terutama di kawasan berkepadatan tinggi.
Katanya, kebimbangan meningkat di Malaysia kerana jumlah anak mengalami Covid-19 melonjak, dengan ibu bapa sangat risau kerana sekolah akan dibuka semula dalam tempoh dua minggu lagi.
"Bagi mendapatkan gambaran mengenai kesan terhadap semua golongan masyarakat terutama berstatus sosio-ekonomi lebih rendah, ujian antigen dilakukan ke atas penjaja di pasar di Pulau Pinang pada 4 September lalu menunjukkan daripada 468 ujian, 54 didapati positif.
"Angka ini menunjukkan jangkitan masih berleluasa di Pulau Pinang dan pengesanan jangkitan dilihat lebih banyak daripada kawasan dengan tempat tinggal berkepadatan tinggi seperti rumah pangsa dan kampung.
"Demografi mempunyai perwakilan ras yang baik menunjukkan bahawa virus itu tidak membezakan ras tertentu dan antara dijangkiti adalah kanak-kanak serta ibu bapa mereka," katanya.
Kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak meningkat kepada 310,074 pada akhir Ogos, iaitu 25 kali lebih banyak daripada keseluruhan tahun lalu manakala seramai 41 kanak-kanak meninggal setakat tahun ini, berbanding hanya enam pada 2020.