[size=0.8][size=0.9]Zuhainy Zulkiffli
[email protected]
Rahani yang tidak boleh berjalan terpaksa meletak barang keperluannya termasuk dapur berhampiran tempat tidurnya di kediamannya di Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau. Foto Zuhainy Zulkiffli
Balik Pulau: Wanita warga emas di Kampung Permatang Pasir di sini, merayu perhatian pakar perubatan bagi mengenal pasti dan merawat penyakit yang dihidapinya sejak 20 tahun lalu.
Penyakit berkenaan menyebabkan kedua-dua belah kaki Rahani Othman, 68, membengkak selain terdapat ketumbuhan di bahagian pinggul.
Rahani berkata, dia sebelum ini berkhidmat sebagai anggota tentera di Rejimen 509 Askar Wataniah di Lebuh Peel sehingga 1991 sebelum bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini.
Selepas itu, kakinya menjadi kemerah-merahan dan mengalami kegatalan sebelum merujuknya ke beberapa klinik dan hospital termasuk pakar.
"Enam tahun kemudian keadaan semakin teruk menyebabkan saya tidak boleh berjalan dan berikutan berat badan berlebihan, saya hanya mampu mengesot bagi mengambil barang.
"Sepanjang tidak boleh berjalan, rakan dan jiran mengambil inisiatif meletakkan kesemua barangan yang diperlukan berhampiran dengan saya supaya mudah diambil," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Rahani berkata, selain menerima sumbangan barangan daripada individu yang prihatin, dia turut mendapat bantuan wang bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).
"Saya pernah dimasukkan ke wad beberapa tahun lalu namun berikutan tiada tanda akan pulih, saya mohon bagi menjalani rawatan di rumah.
"Saya sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin namun berikutan keadaan ini, saya tidak dapat ke pusat pemberian vaksin (PPV)," katanya.
Menurutnya, dia memohon sekiranya ada pakar yang mampu mengesan atau merawat penyakitnya.
Katanya, selain mahu menjalani kehidupan seperti sedia kala, dia berhasrat mahu ke Tanah Suci Makkah apabila sembuh kelak.
"Sudah lama saya tidak keluar dari rumah, ibu (Minah Ismail) yang kini berusia 78 tahun juga sudah semakin tua tambahan pula perlu menjaga adik bongsu berusia 32 tahun berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah sawan," katanya.
Terdahulu, Rahani ditemui ketika menerima kunjungan Aminah Ahmad yang mewakili Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM).
Disiarkan pada: September 17, 2021 @ 10:49am