Butterworth: Polis menahan 20 lelaki yang leka bermain judi dan mahjong serta menonton aktiviti perjudian di sebuah premis kedai di sini, dalam Op Covid-19, pada 12.10 tengah malam, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan polis yang melakukan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mendapati terdapat 20 individu sedang melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan dalam premis berkenaan.
Katanya, kesemuanya warga tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun, yang mana 10 daripadanya sedang bermain judi pakau dan mahjong manakala 10 lagi menonton permainan berkenaan.
"Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.
"Kami turut mengeluarkan kompaun mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas 10 suspek yang ditahan adalah negatif.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan bermain judi dan mahjong serta wang tunai berjumlah RM8,514," katanya.
Katanya, polis akan terus menjalankan pemantauan bagi membasmi kegiatan perjudian di daerah ini dalam memastikan SOP PPN dipatuhi.