[size=0.8]Oleh Izad Thaqif Hassan - September 11, 2021 @ 4:22pm[email protected]
Abd Samat menunjukkan buku nota kecil yang mempunyai butir peribadi kucingnya yang mempunyai cop pengesahan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kulim. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
KULIM: Seorang lelaki warga emas mempunyai cara dan keunikan sendiri untuk mengenal pasti identiti serta sejarah asal usul 20 kucing peliharaannya.
Pesara tentera, Abd Samat L Salleh, 66, menyediakan buku nota kecil yang digunakan untuk mencatat setiap butir peribadi haiwan berkenaan.
Umpama 'kad pengenalan' buku nota kecil itu mencatatkan semua butiran setiap kucing peliharaannya, bermula daripada nama, tarikh serta lokasi ditemui, sakit dan mendapatkan rawatan hingga ke mati.
"Saya mula merekodkan segala butir dalam buku nota kecil sejak 2015 dan ketika itu saya ada 60 ekor kucing peliharaan.
"Inisiatif itu diambil bagi memudahkan saya mengetahui dan mengingat apa sahaja yang berlaku kepada kucing berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kenari, dekat sini.
Tindakan Abd Samad itu turut mendapat pujian setiap kali dia membawa kucingnya mendapatkan rawatan atau merujuk ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kulim, malah buku nota itu akan dicop pengesahan jabatan terbabit.
Kerana terlalu obses dengan kucing, Abd Samat menunjukkan sebahagian keratan akhbar yang mempunyai kaitan dengan haiwan terbabit sebelum menampalnya di atas kad manila dekat rumahnya di Taman Kenari, Kulim. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Abd Samat berkata, daripada 60 kucing dimilki kini hanya tinggal 20 ekor kerana ada antaranya sudah mati selain diberikan kepada ahli keluarga lain.
"Saya memperuntukkan RM2,000 sebulan untuk membeli makanan dan juga kos sampingan lain bagi memastikan kucing dipelihara sentiasa sihat.
"Hampir 70 peratus duit pencen selain gaji isteri yang bekerja di sebuah kilang digunakan untuk keperluan kucing peliharaan namun saya tidak kisah, asalkan semua haiwan kesayangan ini sihat," katanya.
Katanya, semua 20 kucing yang dianggap sebagai 'anak' itu mempunyai perangai tersendiri seperti ada kuat merajuk, pandai mengurut dan gemar menonton televisyen.
"Saya membahasakan diri sebagai 'Abah' dan ada antara kucing ini akan mendengar cakap setiap kali saya memberi arahan contohnya, akan masuk sangkar, mengurut dan pelbagai lagi sekiranya disuruh," katanya.
Abd Samat lazimnya, akan memperuntukkan waktu selama sejam untuk memberi makan serta membersihkan badan dan sangkar kucingnya pada waktu pagi.
"Rutin saya memberi tumpuan pada kucing ini bermula jam 11 pagi manakala untuk malam pula saya menghabiskan masa selama satu jam setengah bermula jam 9 malam," katanya.